Airasia ride cadang perluas perkhidmatan ke Thailand bulan depan

Airasia ride cadang perluas perkhidmatan ke Thailand bulan depan

KUALA LUMPUR – airasia ride merancang untuk mengembangkan perkhidmatan e-panggilan ke Thailand bulan depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serantau airasia ride, Lim Chiew Shan.

Beliau berkata, syarikat itu akan bermula dengan Bangkok, sebelum mengembangkan liputannya ke bandar lain di negara itu.

“Kami bermula dengan 5,000 teksi, selepas beberapa bulan, kami akan mendapatkan pemandu persendirian,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran ciri Pemandu Komuniti di sini pada Rabu.

airasia ride ialah perkhidmatan e-panggilan oleh airasia Super App di bawah Capital A Bhd.

Dilancarkan pada Ogos 2021, ia mempunyai lebih daripada 30,000 pemandu setakat ini, dan menyelesaikan 700,000 pemanduan di seluruh negara.

Sementara itu, mengulas ciri Pemandu Komuniti pada platform airasia Super App, CEO airasia Super App, Amanda Woo berkata, perkhidmatan itu memenuhi keperluan penumpang yang berbeza, bermula dengan menawarkan penumpang wanita pilihan untuk dipandu oleh pemandu wanita.

“Kami sentiasa berinovasi untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dan pengalaman yang diperibadikan untuk pengguna airaisa Super App, dan kami yakin ciri Pemandu Komuniti, bermula dengan ciri LadiesONLY akan menarik minat pengguna airasia ride sedia ada dan menarik lebih ramai pengguna baharu,” katanya.

Woo berkata airasia ride akan menaja pemandu wanita kali pertama yang ingin menyertai perkhidmatan e-panggilan tanpa pengalaman e-panggilan atau lesen e-panggilan, dengan menawarkan faedah seperti pengecualian yuran untuk kursus dan peperiksaan pemanduan kenderaan perkhidmatan awam serta pemeriksaan perubatan percuma.

Selain itu, para pemandu akan menerima 85 peratus daripada tambang bersih — lebih tinggi daripada perkhidmatan e-panggilan lain di pasaran, menjadikannya pilihan pekerjaan sambilan dan peluang menjana pendapatan sampingan yang berdaya maju.

Pada masa ini, airasia ride mempunyai 500 pemandu wanita dan menyasarkan untuk mempunyai 5,000 pemandu wanita tahun ini. – Bernama

Sumber