Kerajaan kekal pelaksanaan SWN 5G, tawar 70 peratus ekuiti DNB

Kerajaan kekal pelaksanaan SWN 5G, tawar 70 peratus ekuiti DNB

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN) dengan membuka ruang kepada syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, model SWN yang diterajui oleh DNB berdasarkan pemulihan kos dan berpandukan penawaran, bersama penyertaan ekuiti oleh syarikat telekomunikasi merupakan penyelesaian terbaik untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G dengan objektif untuk menggalakkan penggunaan 5G oleh rakyat.

“Penyertaan syarikat telekomunikasi dalam DNB membolehkan mereka terlibat dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara.

“Pengalaman syarikat telekomunikasi dalam membangunkan rangkaian 3G dan 4G di Malaysia juga boleh membantu dalam melancarkan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di Kementerian Kewangan pada Rabu.

Tengku Zafrul berkata, pengekalan model SWN merupakan pendirian tegas kerajaan terhadap kesinambungan dasar di Malaysia.

“Ia juga melambangkan model perkongsian awam-swasta Malaysia yang kukuh serta ekosistem pembiayaan sektor swasta yang mantap, yang semuanya akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia,” katanya.

Pelaksanaan model SWN ini akan memastikan tiada implikasi kewangan tambahan ke atas kontrak yang telah termeterai dengan penyedia perkakasan rangkaian yang dilantik iaitu Ericcsson (Malaysia) Sdn Bhd yang telah merangka pelan pelaksanaan dengan mengoptimumkan kerja kontrak dan perkhidmatan bagi vendor tempatan, dengan anggaran 61 peratus daripadanya dapat memanfaatkan kepentingan Bumiputera.

Tengku Zafrul berkata, Jemaah Menteri bersetuju bahawa kerajaan yang kini memiliki 100 peratus ekuiti DNB akan menawarkan sehingga 70 peratus pegangan ekuiti DNB kepada syarikat telekomunikasi Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO).

“Dengan struktur pemilikan baharu, kerajaan akan memegang 30 peratus ekuiti. DNB akan dikawal selia oleh KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) selaku kementerian yang bertanggungjawab ke atas industri komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), sepertimana syarikat telekomunikasi lain.

“MOF pula akan terus memantau DNB dari segi tadbir urus dan sebagai pemegang saham,” katanya.

Pemilikan, nilai ekuiti dan aspek lain berkaitan cadangan penyertaan ekuiti ini adalah tertakluk kepada rundingan antara DNB dan syarikat telekomunikasi, dan proses penawaran ekuiti akan dimulakan selewat-lewatnya Jun depan.

Menurut Tengku Zafrul, pendekatan perkongsian awam-swasta Keluarga Malaysia ini juga akan memudahkan DNB mencapai sasarannya untuk meliputi 80 peratus kawasan berpenduduk negara menjelang 2024.

“DNB diunjurkan untuk mengekalkan harga borong semasa 5G kurang daripada 20 sen setiap Gigabait (GB). Ini dijangka akan menjadikan kos 5G lebih berpatutan, menggalakkan penggunaan dalam kalangan para pengguna dan perusahaan serta mengurangkan kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, ekonomi digital menyediakan peluang baharu yang luar biasa kepada Malaysia terutamanya dalam mempercepatkan kesalinghubungan di seluruh negara dalam era pasca pandemik ini untuk memudahkan usaha pemulihan serta pencapaian status negara berpendapatan tinggi.

“Pelaksanaan 5G akan memacu transformasi sosioekonomi negara dan ini dianggarkan akan menyumbang sebanyak RM650 bilion kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 2030,” ujarnya.- Bernama

Sumber