4 juta rakyat Malaysia dijangka langgan 5G tahun depan

4 juta rakyat Malaysia dijangka langgan 5G tahun depan

KIRA-KIRA empat juta rakyat Malaysia dijangka melanggan perkhidmatan rangkaian selular jalur lebar generasi kelima (5G) pada 2023.

Menurut kajian pengguna terbesar oleh Ericsson, kesediaan pengguna bagi penerimagunaan 5G di Malaysia adalah tinggi dengan 43 peratus pengguna di negara ini berhasrat untuk melanggan 5G pada 2023 dan 25 peratus sudahpun memiliki peranti berkeupayaan 5G.

“Ini menunjukkan kecenderungan tinggi ke arah penerimagunaan 5G. Prospek aplikasi dan perkhidmatan inovatif baharu merupakan faktor utama dalam kadar penerimagunaan 5G.

“Seorang daripada setiap lima pengguna awal berharapkan aplikasi inovatif dan hampir dua kali ganda kerana ramai pengguna 5G yang berpotensi berharapkan liputan rangkaian yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan pengeluaran laporan Ericsson ConsumerLab’s ‘5G: The Next Wave’.

Menurut laporan itu, 87 peratus daripada pengguna di Malaysia mengambil kira pengalaman 5G inovatif sebagai faktor penting dalam pelan jalur lebar mudah alih mereka.

Penyedia perkhidmatan mudah alih juga perlu mencerminkan permintaan pengguna dalam penawaran 5G mereka dan berusaha untuk menambah baik kualiti dan kandungan.

Antara trend utama yang digariskan dalam laporan itu adalah penerimagunaan 5G tidak terkesan dengan inflasi, di mana sekurang-kurangnya 510 juta pengguna di 37 pasaran dijangka melanggan 5G pada 2023.

“Laporan itu menunjukkan gelombang seterusnya pengguna 5G yang berpotensi mempunyai harapan berbeza terhadap teknologi berbanding pengguna awal.

“Keseluruhannya, pengguna menggunakan 5G sebagai sebahagian penting daripada gaya hidup mereka pada masa depan,” kata ketua Ericsson ConsumerLab, Jasmeet Singh Sethi.

Ericsson berkata, lebih 49,000 pengguna di 37 negara ditemu bual dalam kajian tersebut, kaji selidik pengguna berkaitan 5G terbesar global dalam industri setakat ini dan kaji selidik pengguna terbesar yang dikendalikan oleh syarikat itu bagi mana-mana topik.

“Skop kaji selidik itu mewakili pandangan kira-kira 1.7 bilion pengguna di seluruh dunia, termasuk 430 juta pelanggan 5G,” katanya. – Bernama

Sumber