Pengumuman barisan kedua dan ketiga untuk Panggung Purnama bukan sekadar mencetus keterujaan, malah menambahkan debaran dalam kalangan peminat yang sudah lama menantikan sesuatu yang luar biasa.
Penganjur, UdaraLaskhar, tampil dengan kejutan apabila membawa penyanyi sensasi Pamungkas untuk membuat persembahan solo menerusi lagu-lagu ikonik seperti To The Bone, di samping kemunculan Fugo, kumpulan muzik tempatan yang kini sedang mencipta nama melalui karya seperti As Long As We Stay dan Lagu Balada Kala Hujan. Kedua-duanya akan berganding tenaga bersama Bilal Indrajaya di pentas yang sama.
Satu malam yang dijangka sarat dengan emosi, kehangatan serta aura magis ini akan berlangsung dalam suasana intim di Zepp Kuala Lumpur pada 28 September 2025. Ketiga-tiga pemuzik ini akan membawa pengalaman muzik yang dijanjikan berbeza daripada kebiasaan.
Menurut wakil UdaraLaskhar, John Labu, pihaknya amat berbangga dapat mengumumkan kehadiran Pamungkas dan Fugo sebagai pelengkap kepada lineup utama Panggung Purnama. Beliau yakin kedua-dua artis ini memiliki kekuatan tersendiri, bukan sahaja dari segi persembahan pentas tetapi juga menerusi karya yang sudah mengukir tempat di hati peminat.
Tambahnya lagi, gabungan mereka bersama Bilal Indrajaya dilihat sebagai satu bentuk apresiasi terhadap karya berkualiti dan jiwa muzik yang mendalam. Ia merupakan respons kepada permintaan peminat yang mahu melihat bintang-bintang ini bersatu dalam satu acara.
Pemilihan trio ini juga bukan secara kebetulan. Ia dirancang dengan teliti berdasarkan konsep dan hala tuju Panggung Purnama sejak awal penganjurannya. UdaraLaskhar yakin mereka mampu meninggalkan kesan yang sukar dilupakan kepada semua yang hadir.
Dengan pengumuman ini, suasana Panggung Purnama dijangka lebih meriah dan beremosi. Dari gaya ekspresif Pamungkas, ke vibe tenang dan mesra Fugo, sehinggalah kepada sentuhan puitis Bilal Indrajaya, semuanya menjanjikan sebuah malam yang penuh warna dan kenangan.
Tiket boleh didapati melalui www.ilassotickets.com dengan pilihan kategori iaitu Bintang (RM179), Langit (RM199), Awan (RM249), Bumi (RM239) dan Purnama (RM399).
Jangan biarkan peluang ini berlalu begitu sahaja. Kehadiran anda ke Panggung Purnama mungkin menjadi antara kenangan muzik terbaik tahun ini.