World#QuranHour dorong jadi lebih baik

Kelas Rumah Ngaji Masjid Al-Azim Taman Semarak kini mula mendapat sambutan.

Kelas Rumah Ngaji Masjid Al-Azim Taman Semarak kini mula mendapat sambutan.

SEREMBAN – Program World#QuranHour yang akan berlangsung 13 April ini mampu menjadi platform mendorong masyarakat berubah ke arah yang lebih baik.

Penggerak Rumah Ngaji Masjid Al-Azim Taman Semarak di Nilai, Profesor Dr Norita Md Norwawi berkata, ia bukan saja dapat mendekatkan diri dengan al-Quran tetapi dapat menerapkan jiwa kemanusiaan dan ketakwaan dalam kalangan peserta selaras dengan konsep surah Al-Insan yang akan dibawa.

“Bila kita dekat dengan kalam ALLAH ini ia sebenarnya dapat mengubah persepsi kita terhadap semua perkara dan secara keseluruhannya mengubah hidup kita.

“Dengan al-Quran ini juga kita sebagai umat Nabi Muhammad diangkat sebagai umat terbaik dan sebab itulah kita perlu membaca dan menghayati al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peserta terlibat dalam program berkenaan yang kali pertama akan diadakan di Masjid Al-Azim Taman Semarak, dikendalikan oleh Rumah Ngaji.

Bagaimanapun katanya, pihaknya mengalu-alukan lebih banyak penyertaan kerana ia terbuka kepada sesiapa saja.

“Bagi saya sasaran itu realistik dengan jumlah peserta Rumah Ngaji kita. Lagi pun 13 April itu hari orang bekerja, tapi kalau lagi ramai yang berminat turut serta, lagi bagus,” katanya.

Sementara katanya, Rumah Ngaji Masjid Al-Azim Taman Semarak baharu diwujudkan tahun lalu dan mempunyai peserta kira-kira 20 orang terdiri daripada kanak-kanak seawal usia enam tahun sehingga dewasa 65 tahun.

Tambahnya, sesi kelas pengajian al-Quran diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad dengan dikendalikan seramai 10 guru sukarelawan termasuk dari kalangan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Kelasnya selama satu jam saja bermula 9 pagi. Tapi pada bulan Ramadan ini kita adakan juga kelas hadis dan tafsir al-Quran pada setiap hari Sabtu.

“Pada waktu petang pula diadakan kelas Iqrak untuk mualaf dan sesiapa saja yang belum ada kemahiran al-Quran,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kelas berkenaan hanya terbuka kepada peserta perempuan dan kanak-kanak lelaki saja kerana buat masa ini tiada guru lelaki.

Sumber