Bagi memeriahkan sambutan Hari Raya yang bakal tiba tidak lama lagi, dua label hiburan popular negara, Rocketfuel Entertainment dan Def Jam Recordings Malaysia mempersembahkan sebuah single raya istimewa berjudul SEMANGAT LEBARAN KITA gabungan yang mantap dari penyanyi muda wanita yang berbakat Wani Kayrie dengan penyanyi rap-penggubah lagu sedang meledak, Yonnyboii.
“Syukur Alhamdulillah, tidak sampai sebulan single terbaru saya berjudul ‘Kamu Kamu’ dilancarkan, kini saya diberikan kepercayaan sekali lagi oleh pihak Rocketfuel untuk tampil dengan sebuah lagu Raya istimewa bersama Yonnyboii.
Pihak astro juga turut berbesar hati melantik Wani Kayrie atau nama sebenarnya Syawani Abdullah sebagai duta Ramadan-Raya untuk tahun 2022. Tajuk single SEMANGAT LEBARAN KITA nyanyian mereka berdua ini turut menjadi tema sambutan sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Raya nanti oleh pihak Astro.
“Saya diberitahu oleh pihak label (DefJam Recordings) tentang pelawaan berkolaborasi dengan Wani dalam sebuah lagu Raya dari pihak Rocketfuel, sudah tentu saya menerimanya dengan hati yang terbuka” Jelas Yonnyboii.
Lagu Raya hasil ciptaan komposer Amy Bong dan penulis lirik Amy Bong dan Bab ini hadir dalam rentak yang berbeza dengan keunikan tersendiri, genre alternatif pop moden yang diketengahkan diserikan lagi dengan petikan instrumen muzik jenis ‘akordion’ yang jarang kedengaran sekarang, menambahkan lagi dinamik komposisi tersebut. Selain lagu, video muzik (MV) single ini juga turut dilancarkan serentak dengan menampilkan sebuah sketsa pendek yang berkonsepkan kemeriahan suasana di pagi Raya.
Lagu SEMANGAT LEBARAN KITA boleh dimuat turun di iTunes dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBOX, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.