Selepas hampir setahun lebih menyepi, Wani Kayrie akhirnya kembali dengan sebuah single terbaru berjudul Aiman Tino. Diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment dan digubah oleh penggubah lagu terkenal, Ezra Kong, lagu ini menyentuh tema yang dekat di hati ramai, iaitu kisah suka dan perasaan “crush” terhadap seseorang yang memiliki imej comel seperti Aiman Tino. Lagu ini dilancarkan di TikTok pada 27 September lalu dan telah mencuri perhatian peminat dengan reaksi positif yang diterimanya.
Menurut Wani, Aiman Tino adalah lagu yang mengisahkan seseorang yang sedang dilanda perasaan suka terhadap seorang lelaki dengan imej yang kemas dan menarik. Lagu ini dikatakan sangat catchy dengan tempo yang rancak dan mudah diingati, khususnya pada bahagian korusnya yang membuatkan lagu ini melekat di minda pendengar.
“Keistimewaan lagu ini terletak pada korus yang sangat mudah diingat. Saya juga berbincang dengan Ezra Kong untuk memasukkan elemen kemelayuan pada bahagian ‘bridge’ lagu ini, agar ia berbeza dan mempunyai identiti sendiri,” kata Wani ketika ditanya tentang keistimewaan lagu ini.
“Lagu ini memberikan kesan positif, kerana ia sangat rancak dan menyeronokkan, pasti membuatkan pendengar ingin mendengarnya berulang-ulang kali. Saya harap ia dapat diterima oleh semua golongan tanpa mengira usia, terutama bagi mereka yang sedang memendam perasaan kepada seseorang,” tambah Wani dengan penuh harapan.
Ezra Kong, penggubah dan penulis lirik lagu ini, menceritakan bahawa Aiman Tino dihasilkan dengan membayangkan seorang lelaki seperti Aiman Tino yang memiliki imej tajam dan kemas. Dengan imej tersebut, Ezra menghasilkan sebuah lagu yang ceria dan catchy, dilengkapi dengan unsur-unsur humor dan flirtasi yang ringan namun penuh makna.
Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, lagu Aiman Tino mempunyai potensi yang besar, dengan sentuhan melodi yang lebih universal tetapi tetap mengekalkan elemen tempatan. “Kami percaya Wani Kayrie sangat sesuai untuk membawakan lagu ini kerana dia seorang penyanyi serba boleh yang boleh menyampaikan pelbagai jenis genre dengan baik,” kata Sher.
Wani, yang kini berusia 24 tahun, turut merasa teruja dan bersyukur dapat berkolaborasi dengan Ezra Kong yang telah banyak menghasilkan lagu-lagu yang berjaya di Anugerah Juara Lagu. “Lagu ini sesuai dengan minat saya dan saya gembira kerana dapat bekerjasama dengan seseorang yang berbakat besar,” kata Wani.
“Aiman Tino” kini sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music sejak 1 November 2024. Lebih istimewa lagi, single ini juga tersedia dalam format Dolby Atmos di Apple Music, memberikan pengalaman audio yang lebih mendalam dan mengasyikkan.
Selain itu, peminat juga boleh menantikan video muzik eksklusif Aiman Tino yang akan dilancarkan di saluran YouTube Wani Kayrie TV pada 25 November 2024.
Dengan kelainan yang dibawakan dalam lagu ini, Wani Kayrie berharap Aiman Tino dapat memberi kesan yang positif kepada pendengar dan menjadi lagu yang dapat dikaitkan dengan pengalaman hidup mereka sendiri.