Penyanyi berbakat besar yang sering tampil dengan pembaharuan tersendiri, Wani Kayrie kembali mencuri perhatian peminat muzik tanah air menerusi single terbaharu berjudul “Cak Cak Cekuk”. Lagu ini merupakan sebuah karya pop moden berunsur tradisional yang menyatukan elemen budaya lama dengan susunan muzik kontemporari yang segar. Diterbitkan oleh label terkenal Rocketfuel Entertainment, lagu ini merupakan hasil ciptaan tiga komposer berbakat Karim Karam, Shane Kennedy, dan Iqie Hugh yang berjaya menggabungkan elemen moden dan tradisional secara harmoni.
Menurut Wani, lagu ini memberikan impak yang mendalam sejak kali pertama beliau mendengarnya. Katanya, “Kali pertama saya dengar demo lagu ini, saya terus rasa dekat sebab ia benar-benar mencerminkan realiti pasangan muda hari ini. Teruja nak kahwin, tapi kewangan belum mengizinkan. Jadi, saya rakam lagu ini dengan semangat ceria tetapi tetap sarat dengan makna.”
Lagu “Cak Cak Cekuk” mengambil inspirasi daripada irama rakyat tradisional, terutamanya lagu “Cak Cekur Udang Gamit” yang sering didendangkan oleh ibu atau nenek kepada anak-anak kecil suatu ketika dahulu. Wani berkongsi bahawa lagu ini mengingatkannya kepada zaman kanak-kanaknya dan menjadi peluang istimewa untuk membawa semula elemen budaya warisan dalam bentuk yang lebih relevan untuk generasi masa kini. “Saya rasa sebagai generasi baharu, kita perlu angkat semula warisan kita – tapi dengan cara yang lebih moden dan segar,” katanya dengan penuh semangat.
Lebih daripada sekadar lagu hiburan, “Cak Cak Cekuk” turut membawa mesej sosial yang dekat di hati ramai orang, khususnya pasangan muda yang berdepan realiti perancangan perkahwinan dengan kekangan kewangan. Liriknya yang bersahaja dan jujur menjadikan lagu ini sangat relatable kepada mereka yang sedang dalam proses membina masa depan bersama. “Saya percaya ramai akan rasa lagu ini dekat dengan hidup mereka. Cinta tak perlukan majlis besar, cukup dengan keikhlasan dan usaha bersama,” ujar Wani.
Dengan susunan muzik yang rancak dan vibe yang menggembirakan, lagu ini turut menyampaikan semangat untuk tidak mudah berputus asa. Wani menyatakan bahawa mesej utama lagu ini ialah tentang perjuangan dan kesungguhan mengejar impian bersama pasangan, tidak kira betapa sukar pun permulaan itu. “Walaupun muziknya santai, maksud lagu ini sangat jelas kalau dah sayang, kita usaha sama-sama. Saya sendiri pernah lalui banyak cabaran untuk capai cita-cita dalam dunia seni,” tambahnya sambil mengimbas kembali perjalanan awal kerjayanya.
“Cak Cak Cekuk” turut digambarkan sebagai lagu yang sesuai dimainkan dalam pelbagai majlis meraikan cinta daripada majlis perkahwinan, sesi ‘bridal shower’, hingga ke acara kekeluargaan. Dengan gaya penyampaian yang ringan, mesra dan menyentuh perasaan, lagu ini mampu menyuntik suasana yang penuh kasih dan positif dalam sebarang acara.
Kini, peminat muzik boleh menikmati “Cak Cak Cekuk” di semua platform digital utama termasuk Spotify, Joox, KKBox, Deezer, Apple Music dan YouTube Music bermula 23 Mei 2025. Jangan lepaskan peluang juga untuk menonton muzik video rasmi yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, menampilkan kelainan visual yang menyeronokkan dan penuh gaya.
Untuk maklumat lanjut serta perkembangan terkini Wani Kayrie, orang ramai boleh mengikuti laman sosial rasmi beliau serta Rocketfuel Entertainment bagi mendapatkan berita-berita eksklusif dan promosi terbaru berkaitan lagu ini.