VOLVO Car Malaysia (VCM) mengumumkan pembukaan sebuah lagi pusat Jualan, Servis dan Alat Ganti (3S) di Johor Bahru, Johor. Ia bagi memudahkan sama ada pemilik sedia ada atau bakal pelanggannya di bandar raya berkenaan.
Pusat 3S Volvo baharu tersebut merupakan milik Pekin Auto Sdn Bhd (Pekin Auto) yang terletak di sekitar Skudai, Johor Bahru.
Sama seperti semua outlet sah VCM sedia ada, premis baharu itu turut tampil bersama konsep global terkini jenama Scandinavia itu iaitu Volvo Retail Experience (VRE).
Pengarah Urusan Volvo Cars, Nalin Jain berkata, VRE melangkaui estetika yang diilhamkan oleh Scandinavia dan ia adalah manifestasi nilai jenama VCM.
“Matlamat utama kami adalah untuk menjaga pelanggan sepanjang tempoh perjalanan mereka bersama Volvo Cars.
“Saya gembira bahawa jenama kami telah diterima baik dalam pasaran. Kami komited untuk memberikan pelanggan pilihan yang lebih luas dengan melantik syarikat yang diiktiraf dan profesional seperti Pekin Auto bagi mewakili jenama dalam perkara-perkara penting,” katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.
Dengan pembukaan Pekin Auto di Johor Bahru itu, VCM kini mempunyai sejumlah 13 pengedar di seluruh negara dan dijangka akan bertambah di beberapa lokasi lagi dalam masa terdekat.
Walaupun Pekin Auto sudah beroperasi, namun ia masih belum dirasmikan. Menurut VCM, lebih perincian berkenaan pengedar baharu akan diumumkan ketika pelancaran rasmi nanti.