UPSI Angkat Martabat Pendidikan Global Menerusi Global Educator Award

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh kedudukannya di peringkat global menerusi penganjuran Global Educator Award dan Great Teacher Summit yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah memperluas usaha pengantarabangsaan Institusi Pendidikan Tinggi negara. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, inisiatif berprestij itu bukan sahaja mengangkat reputasi UPSI sebagai universiti pendidikan terulung di Malaysia, malah berpotensi menempatkannya di peta dunia sebagai pusat rujukan dalam bidang pendidikan.

Menurut beliau, UPSI yang mempunyai sejarah lebih 100 tahun perlu mengambil peluang untuk mengantarabangsakan nilainya agar terus relevan dalam landskap pendidikan moden. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Global Educator Award dan Great Teacher Summit di Dewan Tuanku Canselor UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, malam tadi.

Zambry turut menzahirkan rasa bangga terhadap sambutan luar biasa yang diterima bagi penganjuran julung kali itu dengan penyertaan pendidik dari lebih 50 negara, sekali gus mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran UPSI dalam bidang pendidikan. Beliau juga memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi akan meneliti bentuk bantuan bagi memperkukuh penganjuran program tersebut pada tahun hadapan termasuk menambah kategori baharu di setiap peringkat pendidikan.

“Program ini boleh diperluaskan kepada pelbagai kategori seperti pendidikan kanak-kanak, prasekolah, rendah, menengah, tinggi hinggalah ke universiti. Bermula tahun hadapan, UPSI akan menjadi lebih meriah dengan acara antarabangsa seperti ini,” katanya.

Dr Zambry bergambar bersama tetamu dan pelajar UPSI yang hadir sempena
Global Educator Award dan Great Teacher Summit di Dewan Tuanku Canselor, Kampus
Sultan Azlan Shah, UPSI

Pada majlis berkenaan, Zambry turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Global Educator Award 2025 yang terdiri daripada lima kategori utama. Anugerah Inspiring Educational Leader dimenangi oleh Madam Cheah Gaik Imm dari Malaysia, manakala Community Outreach Educator Award diberikan kepada Prof. Julio Manuel Pereyra. African Leadership Academy dari Afrika Selatan diumumkan sebagai penerima Transforming Educational Institution Award, sementara Esteemed Teacher Educator Award dimenangi oleh Prof. Dr. Pasi Sahlberg dari University of Melbourne, Australia. Bagi kategori Avant-Garde Teacher Award, anugerah itu diterima oleh Mr. Deep Narayan Nayak dari India yang dikenali sebagai “Teacher of the Streets”.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, penganjuran anugerah tersebut merupakan hasil visi jauh Menteri Pendidikan Tinggi yang mempercayakan UPSI untuk melaksanakan inisiatif berskala global berkenaan. Menurut beliau, program yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober itu menghimpunkan peserta, diplomat dan finalis dari lebih 50 negara termasuk Rusia, Australia, Argentina, Afrika Selatan, India, Jepun, Iran, Pakistan, Singapura, Indonesia, Filipina, Botswana dan Malaysia.

Sebanyak 244 pencalonan daripada 57 negara diterima bagi edisi pertama ini dengan 16 finalis terbaik daripada 10 negara dipilih untuk lima kategori utama yang meraikan kepelbagaian impak dalam bidang pendidikan. Menariknya, setiap anugerah yang disampaikan direka dengan identiti Malaysia melalui simbolik reka bentuk trofi bertemakan Pucuk Rebung, Ombak Laut, Benang Emas, Bunga Teratai dan Tampuk Manggis, yang melambangkan pertumbuhan, tenaga dan perpaduan dalam dunia pendidikan.

“Keunikan Global Educator Award bukan sahaja mengangkat martabat UPSI, malah turut mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. Dengan lebih 10,000 peserta terlibat, anugerah ini menempatkan UPSI dan Malaysia secara kukuh di arena antarabangsa,” ujar Prof. Md Amin.