PORT DICKSON, 18 April 2019 – Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Tuan Muhammad Bakthiar Wan Chik telah merasmikan program Tourism Malaysia Travel Mart @ Negeri Sembilan 2019 yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia di Hotel Lexis Hibiscus, di sini, hari ini.
Program sehari ini bertujuan menemukan pengusaha pelancongan dengan pengusaha produk dan hotel di Negeri Sembilan di bawah satu bumbung bagi mendapatkan pelbagai pilihan pakej pelancongan domestic khusus untuk Negeri Sembilan.
Program Tourism Malaysia Travel Mart @ Negeri Sembilan 2019 yang berkonsepkan Perniagaan kepada Perniagaan atau B2B ini melibatkan pertemuan dua hala antara pengusaha produk dan hotel dari Negeri Sembilan dengan pembeli berpotensi yang terdiri daripada kalangan pengusaha pelancongan yang dibawa khas dari sekitar Lembah Klang, Melaka dan Johor.
Bagi tempoh Januari hingga November 2018, Port Dickson telah menerima kedatangan seramai 4,498,083 pelancong domestic dan antarabangsa.
Tuan Muhammad Bakhtiar dalam ucapannya berkata bahawa program tersebut dapat mengukuhkan hubungan kerjasama selain mewujudkan jaringan perniagaan antara para penggiat industri pelancongan yang menyertai program ini.
“Di samping itu, program Tourism Malaysia Travel Mart ini dapat memberi galakan kepada pertumbuhan sektor pelancongan domestik, sekali gus menjana pendapatan industri pelancongan Negara,” sambung beliau lagi.
Menurut beliau, kerjasama daripada wakil-wakil industri pelancongan amatlah diperlukan terutamanya dalam menghasilkan pakej-pakej pelancongan yang menarik dan kreatif kerana ia boleh membantu merancakkan lagi sambutan Visit Malaysia 2020
Seramai lebih kurang 120 buyers dan 50 sellers telah menyertai program ini.