Tourism Malaysia Sabah Perkukuh Kerjasama Strategik Industri Pelancongan Menjelang Visit Malaysia 2026

Tourism Malaysia Sabah telah menganjurkan Majlis Apresiasi Media dan Rakan Strategik Industri Pelancongan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta menyokong pembangunan industri pelancongan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Penganjuran majlis ini selari dengan aspirasi nasional menerusi pelaksanaan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang menekankan kepentingan kolaborasi menyeluruh antara sektor awam dan swasta.

Majlis berkenaan menghimpunkan pelbagai penggiat utama industri pelancongan termasuk agensi dan pengendali pelancongan, pengusaha penginapan, syarikat penerbangan, pemilik produk pelancongan, komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan serta wakil media. Kehadiran pelbagai pihak berkepentingan ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh ekosistem pelancongan yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing demi manfaat jangka panjang industri pelancongan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sepanjang tahun 2025, industri pelancongan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan terus mencatatkan prestasi yang memberangsangkan meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran global. Peningkatan ketibaan pelawat, pengukuhan kerjasama antara sektor awam dan swasta serta pengenalan produk pelancongan bernilai tambah telah menyumbang secara signifikan kepada proses pemulihan dan pertumbuhan sektor ini.

Menurut Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Cik Haryanty Abu Bakar, kejayaan sektor pelancongan amat bergantung kepada pendekatan bersepadu serta sokongan menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan. Kerjasama erat bersama rakan strategik industri, disokong oleh peranan media yang signifikan, memainkan peranan penting dalam menyampaikan naratif pelancongan negara kepada khalayak yang lebih luas. Sokongan berterusan menerusi liputan, penulisan dan penghasilan kandungan kreatif berupaya meningkatkan keterlihatan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Bagi menyokong pelaksanaan kempen Visit Malaysia 2026, Tourism Malaysia Sabah telah mengenal pasti tiga keutamaan strategik dalam usaha promosi pelancongan. Tumpuan diberikan kepada pengukuhan penjenamaan dan pemasaran destinasi bagi merangsang permintaan pasaran, peningkatan aliran pelawat melalui pelaksanaan kerjasama strategik bersama rakan industri, serta pemfokusan kepada segmen pasaran berimpak tinggi termasuk pelancongan pengembaraan, ekopelancongan dan golf. Selain itu, produk pelancongan minat khas seperti Community-Based Tourism, pengalaman homestay, pemerhatian burung dan selaman skuba turut diberi penekanan sebagai tarikan utama.

Beliau turut menegaskan bahawa VM2026 merupakan agenda nasional yang menuntut kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, khususnya di Sabah. Inisiatif ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi pelancongan, malah memberi impak langsung kepada pembangunan komuniti setempat, pemeliharaan alam sekitar serta pengukuhan kedudukan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai antara destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Seiring dengan usaha memperkasa industri pelancongan negara, Tourism Malaysia turut membuka permohonan secara dalam talian bagi Geran Sokongan Sektor Pelancongan dan program GAMELAN bagi tahun 2026 bermula 16 Disember 2025. Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada pemain industri untuk mendapatkan sokongan dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif pembangunan pelancongan yang selari dengan aspirasi nasional serta sasaran kempen Visit Malaysia 2026.