Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah Penuhi Aspirasi Murid untuk Lebih Yakin dan Berani

Program Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah bersama SAFI Shayla terus mencipta detik bermakna apabila berjaya menyentuh lebih 1,000 murid di SMK Convent (M) Kajang dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya. Berlangsung pada 18 dan 27 Februari, program ini menjadi medan terbaik untuk murid menimba ilmu sambil berseronok. Kehadiran selebriti terkenal serta pelbagai aktiviti menarik menjadikan program ini lebih istimewa.

Melalui kerjasama erat antara TV3, Tonton, DIDIKTV KPM dan SAFI Shayla, program ini menjadi platform unik dalam menyuntik semangat dan keyakinan diri murid. Mereka bukan sahaja mendapat peluang untuk berinteraksi dengan selebriti kegemaran, malah turut didedahkan kepada pelbagai ilmu bermanfaat dalam aspek komunikasi, pembentukan jati diri serta perancangan masa depan.

Selebriti seperti Malia Baby, Imran Aqil, Nabil Aqil, Aizat Saha, Muaz Zabir, Syahir Shafein, Anim Ezati, Zarif Ghazzi, Sharul Kamal, Fitri Farok, Hakimi Noordin, Shah Sulaiman (Tapau) dan Nisa Kay turut hadir bagi berkongsi pengalaman serta perjalanan karier mereka. Murid-murid begitu teruja mendengar kisah-kisah inspirasi yang memberi mereka motivasi untuk lebih berusaha dalam mencapai cita-cita mereka.

Di samping itu, pelbagai aktiviti interaktif telah disusun rapi untuk mencungkil bakat dan kreativiti murid. Aktiviti seperti Cergas+, LED Q&A, Uji Bakat Drama, Uji Bakat Berita, Mix & Match dan Tic Tac Toe mendapat sambutan hangat. Murid-murid menunjukkan keberanian mereka dalam setiap cabaran yang diberikan, sekali gus membina keyakinan diri dalam suasana yang menyeronokkan.

Bagi mengiktiraf usaha mereka, anugerah khas seperti “Terpaling Sporting”, “Terpaling Heboh”, “Terpaling Drama”, “Terpaling Girl Power” dan “Rambut Hijab Terpaling Slay” diberikan kepada peserta yang paling menonjol. Sijil penghargaan turut diberikan kepada semua peserta, manakala pihak sekolah menerima plak penghargaan sebagai tanda apresiasi daripada pihak penganjur.

Program ini turut menampilkan inisiatif “Sis Shay, Inspirasi Hijabi” oleh SAFI Shayla yang memberi tumpuan kepada penjagaan rambut bagi murid-murid hijabi. Mereka mendapat pendedahan mengenai kepentingan penjagaan rambut, yang bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi juga dapat meningkatkan keyakinan diri mereka dalam menjalani kehidupan seharian.

Maklum balas daripada murid dan guru sangat memberangsangkan. Murid-murid merasa lebih berkeyakinan dan berani untuk menonjolkan potensi diri, manakala guru-guru melihat program ini sebagai satu inisiatif yang sangat baik dalam membentuk keperibadian murid.

Puan Farah Shamsudin, Pengarah Pemasaran Kreatif dan Komunikasi, Rangkaian Televisyen Media Prima, menyatakan bahawa kejayaan program ini amat membanggakan. “Kami berharap dapat meneruskan inisiatif ini untuk lebih ramai murid agar mereka dapat membina keyakinan dan mencapai impian mereka,” katanya.

Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah bersama SAFI Shayla bakal terus menjadi platform terbaik untuk mencetuskan perubahan positif dalam kehidupan murid-murid serta memperkasakan masa depan mereka.