WAKTU berbuka puasa adalah satu waktu yang sangat menyeronokkan dengan pelbagai jenis juadah menarik terhidang, tersedia untuk dinikmati.
Namun, bagaimana pula dengan waktu sahur? Adakah ia membosankan? Sedangkan ia merupakan waktu penting untuk memastikan anda kekal bertenaga sepanjang hari ketika berpuasa.
Jadi, apakah tip bersahur ringkas dan kekal menjadikan anda kenyang sepanjang hari? Ikuti artikel ini.
Tip bersahur ringkas dan mudah:
Jem buah-buahan
Bangun sahur pada awal pagi mungkin adalah satu perkara di luar kebiasaan bagi sesetengah individu. Apatah lagi untuk mengambil makanan berat seperti nasi.
Jadi, mungkin anda boleh menghasilkan jem segera dari buah-buahan lembut dan tidak berbiji seperti pisang dan strawberi.
Ia bukan sahaja mudah untuk dihasilkan, tetapi turut membekalkan nutrisi yang secukupnya untuk memberikan anda tenaga sepanjang hari. Anda boleh sapukan jem segera ini di atas roti dan taburkan sedikit gula, jika perlu.
Oat
Oat sememangnya merupakan sejenis makanan yang baik untuk kesihatan yang dapat membantu mengawal tahap kolesterol dalam badan, malah ia juga mengenyangkan.
Antara pilihan cara untuk menikmati oat ini adalah dengan membeku atau menyejukkan ia semalaman sebelum memakannya pada waktu sahur.
Pelbagai jenis resipi boleh diperoleh dalam talian dan anda boleh mencampurkan oat dengan makanan kegemaran anda seperti kismis, kacang, kurma, atau buah-buahan segar yang dipotong kecil, tuangkan susu segar sehingga menutupi lapisan oat dan simpankan dalam peti ais.
Garam dan air
Garam boleh berfungsi sama ada sebagai penyerap atau penyimpan air. Sewaktu berpuasa, pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam boleh mempercepatkan dehidrasi dan membuatkan anda lebih cepat berasa haus.
Pengambilan air yang berlebihan, terutama ketika bersahur juga boleh menyebabkan tindak balas yang sama.
Jadi, sebaiknya, minumlah sekurang-kurangnya 2-3 gelas sahaja pada waktu sahur dan lebihkan pengambilan air pada waktu malam sebelum anda tidur.
Makanan tinggi protein
Makanan yang mengandungi kandungan protein yang tinggi atau berasaskan protein boleh menghindarkan anda dari mudah penat dan mengekalkan anda untuk lebih aktif sepanjang hari.
Makanan dari sumber protein juga mengambil masa yang lebih lama untuk dihadam dan sekali gus menjadikan anda kenyang untuk tempoh yang lebih lama.
Antara pilihan makanan yang baik adalah seperti telur, keju, ikan dan kekacang. Jika anda mempunyai alahan laktosa – sejenis gula yang terdapat secara eksklusif dalam susu dan produk tenusu – anda boleh memilih susu soya atau susu badam.
Jika anda sukakan makanan protein seperti daging dan ayam, pilihan dada ayam atau daging merah pejal adalah lebih baik.
Sumber: https://hellodoktor.com