Rocketfuel Entertainment dengan bangganya mengumumkan kejayaan luar biasa sempena Ramadan dan Aidilfitri 2025 melalui pelancaran tiga lagu Raya yang mencipta fenomena tersendiri: “Meriah Lain Macam” nyanyian Hael Husaini dan Nadeera, “Nyam Nyam Ketupat” oleh Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan Miss Alvy, serta “Dam Dim Dum Raya” oleh Nadeera. Ketiga-tiga lagu ini telah mengumpulkan lebih 1.7 bilion strim dan tontonan secara kolektif di YouTube dan platform digital lain, menjadikannya antara projek muzik Raya paling berjaya dalam sejarah Rocketfuel Entertainment.
“Meriah Lain Macam” telah mencatat lebih 16 juta tontonan di YouTube dan menduduki tangga No.1 di pelbagai carta, termasuk Carta RIM (Lagu Melayu), Billboard Malaysia, YouTube Music Malaysia dan YouTube Music Brunei. Lagu ini juga trending nombor 1 di YouTube selama 33 hari berturut-turut. Dicipta oleh Hael Husaini dan Iqie Hugh, lagu ini menggambarkan keterujaan pasangan suami isteri membuat persiapan pulang ke kampung untuk beraya.

“Nyam Nyam Ketupat” menampilkan gandingan hebat Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan Miss Alvy. Dengan melodi yang comel dan lirik yang mencuit hati, lagu ini telah meraih hampir 8 juta tontonan di YouTube dan mencapai kedudukan No.3 Most Streamed Malay Singles In Malaysia. Selain itu, lagu ini juga memperkenalkan tarian unik yang menjadi tular di media sosial, dan menariknya, bintang sukan badminton dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris, Victor Axelsen turut menggunakan “Nyam Nyam Ketupat” sebagai lagu latar dalam salah satu hantaran di akaun TikToknya ketika sesi latihan di Kelab Badminton Gentofte, Denmark.
Sebagai penyanyi solo, Nadeera juga tidak ketinggalan dengan lagu “Dam Dim Dum Raya” yang meraih lebih 800,000 tontonan di YouTube, sebuah pencapaian yang membanggakan.

Melihat kepada sambutan hangat terhadap projek Raya 2025 ini, Rocketfuel Entertainment bertekad untuk terus mempersembahkan karya-karya berkualiti dan segar kepada penonton dan pendengar. Nantikan pelbagai lagi kejutan menarik dari Rocketfuel Entertainment yang bakal menyusul tidak lama lagi!
Atas permintaan ramai, single “Bukan Lagi Kita” nyanyian Nadeera versi AJL, dan juga lagu “Diam” nyanyian Hael Husaini versi AJL kini tersedia untuk distrim bermula 1 Mei 2025 di semua pelantar digital utama.