The Orchid Journey: Meneroka Keseimbangan Jiwa dan Realiti Hidup Wanita Moden

The Orchid Journey, terbitan Skyhill Clinic, merupakan siri travelog inspirasi yang menemukan tiga tokoh wanita berpengaruh Malaysia iaitu Dr. Linda Mat Hassin, seorang doktor perubatan terlatih dalam perawatan hormon dan wanita; Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, Guru Kerohanian dan Personaliti Dakwah; serta Datuk Dr. Faridah Hanim Haron, Guru Kepimpinan dan Pembangunan Organisasi. Menelusuri destinasi Tokyo dan Bandung, siri ini membawa penonton mengikuti perjalanan penuh makna ketiga-tiga figura ini dalam misi mencari keseimbangan hidup wanita moden antara tuntutan dunia serba pantas dan keperluan jiwa yang mendambakan ketenangan serta makna.

Siri ini bukan hanya sebuah dokumentasi pelancongan, tetapi menjadi wadah pencarian ilmu, kekuatan dalaman dan nilai spiritual dalam kehidupan masa kini. Setiap episod menampilkan perbincangan dan refleksi mendalam mengenai kepimpinan wanita, tekanan hidup, keseimbangan hormon, kesihatan mental serta emosi, selain menyentuh peranan Muslimah dalam kerjaya dan keluarga. Dengan durasi antara 20 hingga 25 minit setiap episod, siri ini bukan sahaja menghiburkan, malah mengajak penonton merenung kembali nilai diri, kesihatan dan hubungan dengan Tuhan.

The Orchid Journey turut memikat melalui visual sinematografi berkualiti tinggi serta dialog yang jujur dan menyentuh jiwa, menjadikannya sebuah karya sarat nilai dan berbeza daripada yang lain. “Wanita hari ini hidup di antara dua dunia satu dunia yang menuntut produktiviti dan prestasi, dan satu lagi dunia jiwa dalaman yang mendambakan ketenangan dan makna. The Orchid Journey adalah jambatan antara keduanya,” ujar Dr. Linda Mat Hassin, penerbit eksekutif dan penggerak utama siri ini.

Siri ini turut direalisasikan dengan sokongan penuh penaja rasmi yang memainkan peranan penting dalam kejayaannya. Skyhill Clinic selaku Penaja Utama menjadi tunjang utama projek ini, disertai Siti Khadijah sebagai Rakan Rasmi Busana Muslimah, AMPAC sebagai Rakan Latihan Rasmi, MedikGO sebagai Rakan Portal Kesihatan Rasmi, Linheal sebagai Rakan Suplemen Halal, Casalwa sebagai Rakan Butik Rasmi, serta Brainy Bunch sebagai Rakan Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Gabungan rakan penaja ini memperkukuh nilai, mesej dan misi The Orchid Journey dalam usaha memperkasakan wanita dari sudut kesihatan, spiritual dan kepimpinan.

Dalam sidang media yang berlangsung hari ini, turut diumumkan bahawa Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa dilantik sebagai Ikon Syariah Skyhill Clinic, manakala Datuk Dr. Faridah Hanim Haron dilantik sebagai Penasihat Korporat Skyhill Clinic. Pelantikan ini menjadi simbol kolaborasi ilmu, nilai dan profesionalisme dalam memperkukuh misi Skyhill Clinic untuk terus memperkasakan wanita melalui pendidikan kesihatan, kerohanian dan kepimpinan.