Selepas sambutan luar biasa dan tiket habis terjual dalam masa hanya 30 minit untuk Hari Pertama, Tenxi kembali dengan kejutan yang lebih besar. Dengan penuh rasa syukur dan energi positif, Icon Entertainment mengumumkan penganjuran Hari Kedua untuk persembahan istimewa bertajuk Special Show: Panggung Puting Beliung Tenxi. Malam tambahan ini dibuka sebagai tanda penghargaan buat para peminat yang tidak berpeluang mendapatkan tiket pada hari pertama, sekaligus memberi kesempatan kepada lebih ramai Tenxiholic menikmati pengalaman unik ini.
Untuk persembahan Day 2, Tenxi turut membawakan line-up eksklusif daripada ANTI NRML yang akan diumumkan dalam masa terdekat. Penampilan ini dijangka menambah variasi dan kejutan kepada keseluruhan persembahan, menjadikan malam tersebut lebih bertenaga dan penuh warna. Tenxi sendiri menyifatkan sokongan peminat sebagai kekuatan utama dalam perjalanan seninya, dan pembukaan Hari Kedua merupakan hadiah tulus buat semua yang sentiasa berada di sisinya.

Hari Kedua bukan sekadar ulangan, tetapi dijanjikan sebagai sebuah pengalaman baharu yang lebih intens, lebih mendalam dan sarat dengan elemen segar yang belum dipertontonkan. Tenxi mahu semua yang hadir menyanyi bersama, menikmati muzik tanpa batas dan melepaskan segala tekanan dengan penuh kebebasan. Beliau turut mengingatkan peminat untuk bersedia kerana mereka “sudah diberi akses untuk malam kedua, gaiss!” yang pastinya lebih menggemparkan.
Dengan lokasi dan masa yang sama seperti Hari Pertama, peminat kini boleh menanda tarikh tersebut sebagai malam yang bakal dibadai ‘energi puting beliung’, namun dalam suasana yang dipenuhi rasa cinta dan kehangatan antara Tenxi dan Tenxiholic. Menerusi pesanan “Take a sip and let’s ESCAPE from STRS..”, Tenxi mahu membawa semua yang hadir keluar seketika daripada kesibukan dunia dan masuk ke ruang muzik yang dipenuhi tenaga, penawar dan magis tersendiri.

Jualan tiket bermula Rabu, 10 Disember 2025 pada jam 3.00 petang dengan pilihan kategori hoRRReg (RM250), Apa Lagi (RM220), 1/10 (RM180), Cuba Lagi (RM150) dan Puting Beliung Box berharga RM5,000. Tawaran eksklusif Puting Beliung Box ini merangkumi kemasukan untuk 10 orang berserta signature poster dan snek F&B. Harga tiket ditetapkan secara mampu milik bagi memastikan lebih ramai peminat dapat merasai sendiri kehangatan dan magis persembahan Tenxi secara langsung.
Tiket boleh dibeli melalui laman rasmi Ticket2U di pautan https://www.ticket2u.com.my/TenxiDay2. Peminat disaran bertindak segera sebelum tiket kembali habis terjual.