Tak sempurna iman jika sakiti perasaan jiran

JIRAN merupakan salah satu watak penting dalam lakaran kehidupan kita. Kedudukan jiran juga diberikan perhatian penting dari sudut pandang Islam.

Di samping kita memikirkan tentang jiran kita, jangan lupa, dalam masa yang sama kita juga ialah jiran kepada orang lain.

Berbuat baik kepada jiran adalah tuntutan agama. Bahkan, perintah itu disebut dengan diikat bersama perintah menyembah ALLAH dan tidak melakukan syirik. Ia menggambarkan satu perintah yang besar dan tidak boleh dipandang remeh sepertimana yang disebut dalam Surah al-Nisa’, ayat 36.

Berbuat baik kepada jiran dan menjadi jiran yang baik mempunyai kaitan dengan kualiti iman kita. Kesempurnaan iman seseorang bukan hanya bergantung kepada sejauh mana hubungannya dengan ALLAH SWT, bahkan ia juga dilihat bagaimana hubungannya dengan manusia yang lain termasuk jiran terdekat.

Sebab itu Rasulullah SAW berpesan: “Sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Riwayat Muslim)

Jangan abaikan perasaan jiran

Seseorang yang mengambil berat tentang hubungannya dengan ALLAH, sentiasa beribadah, rajin solat berjemaah di masjid, selalu ikuti pengajian agama, melazimi berpuasa sunat, berdamping dengan al-Quran, mengamalkan zikir-zikir harian dan sebagainya sebenarnya belum terjamin kesempurnaan imannya sekiranya hubungannya dengan jiran diabaikan.

Lebih malang, jika dia menjadi jiran yang tidak disenangi oleh jiran-jiran yang lain disebabkan tindakan atau kata-katanya.

Oleh itu, usah memandang remeh hubungan kita dengan jiran-jiran lain. Ia amat diberi perhatian oleh Islam hinggakan Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jibril sentiasa berpesan kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran akan boleh mewarisi hartaku.” (Riwayat al-Bukhari)

Hakikatnya, jiran bukanlah termasuk dalam senarai ahli keluarga yang berhak mewarisi harta seseorang selepas dia meninggal dunia. Namun, pesanan Jibril kepada baginda SAW itu menunjukkan kedudukan jiran yang sangat penting dalam kehidupan kita.

Untuk berbuat baik kepada jiran, masing-masing ada kemampuan tersendiri. Tanggungjawab itu juga boleh dilaksanakan melalui pelbagai bentuk sama ada yang dapat dilihat secara zahir seperti saling bertukar-tukar juadah makanan, menghulur bantuan kewangan jika dalam kesusahan, ziarah-menziarahi, bertanya khabar, tolong-menolong dan bergotong-royong jika ada sesuatu majlis keraian dan sebagainya.

HORMATI, berbuat baik dan memuliakan jiran merupakan tuntutan agama.

HORMATI, berbuat baik dan memuliakan jiran merupakan tuntutan agama.

Selain itu, termasuk dalam berbuat kepada jiran apabila kita menjaga perasaan mereka dan bersemuka dengan wajah tersenyum. Tidak melakukan perkara yang menyusahkan dan memberi mudarat kepada jiran atau menyakitkan hati mereka.

Contohnya, meletakkan kenderaan kita sesuka hati hingga mengganggu lalu lintas jiran-jiran lain, membuang sampah ke dalam tong sampah jiran, membiarkan haiwan peliharaan kita membuang najis di halaman jiran atau merosakkan tanaman, melepak dan bersembang di luar rumah kita dengan suara yang kuat hingga larut malam dan sebagainya.

Justeru, jika kita tidak mampu berbuat baik kepada jiran dengan memberi bantuan atau sebagainya, maka jagalah kata-kata dan tindak-tanduk kita jangan sampai menyakiti hati jiran.

Rasulullah SAW memberi amaran: “Tidak akan masuk syurga orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya.” (Riwayat Muslim)

Lihatlah betapa beratnya amaran dan ancaman yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap perbuatan menyakiti perasaan jiran.

Diuji jiran menyakitkan hati

Bagaimana pula jika kita diuji dengan mempunyai jiran yang menyakitkan hati kita sama ada melalui percakapan atau perbuatannya? Sebenarnya situasi itu pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Abu Hurairah menceritakan, ada seorang lelaki bertemu Nabi Muhammad lalu mengadu perihal jirannya. Maka baginda SAW berpesan: “Pergilah dan bersabarlah.” Selepas itu, lelaki tersebut datang mengadu lagi perihal yang sama sebanyak dua atau tiga kali. Lalu Nabi Muhammad mengarahkan: “Pergilah dan campakkanlah barang-barang di rumah kamu ke jalan.” Maka, lelaki tersebut pun mencampakkan barang-barangnya ke jalan hingga menyebabkan orang ramai yang lalu bertanya kepadanya.

Lelaki tersebut pun menceritakan situasi yang dihadapinya (disakiti jiran).

Ceritanya tersebut membuatkan orang ramai melaknat jiran tersebut dengan berkata: “ALLAH akan membalas perbuatannya (mendoakan keburukan), ALLAH akan balas dan ALLAH akan balas.” Selepas itu, lelaki tersebut didatangi oleh jirannya dan dia berkata: “Pulanglah, kamu tidak akan mendapat sesuatu yang kamu benci lagi daripadaku”. (Riwayat Abu Daud – dinilai sanadnya baik oleh Syeikh Syu’aib al-Arnaut)

Berdasarkan hadis itu, tip utama yang Rasulullah pesan jika kita disakiti jiran ialah bersabar. Kemudian, tindakan mencampakkan barang ke jalan ialah gambaran kepada protes dan tidak puas hati kita terhadap jiran.

Namun, tindakan sebegitu mungkin dianggap biasa dengan masyarakat Arab ketika itu. Dalam konteks kita sekarang, mungkin tidak sesuai, tetapi kita tetap boleh mengambil langkah seperti mengadu kepada pihak yang berautoriti di kawasan kejiranan kita tanda kita tidak puas hati di atas tindakan jiran. Itulah manifestasi di sebalik tindakan lelaki tersebut.

Namun, jika sebelum itu kita mempunyai kemampuan dan ruang yang sesuai untuk bercakap dan menyatakan ketidakpuasan hati kita secara harmoni kepada jiran tersebut secara langsung, ia boleh dilakukan terlebih dahulu. Berdoalah agar jiran tersebut berubah sikapnya juga adalah langkah yang baik.

Mendapat jiran yang baik adalah satu nikmat dalam kehidupan. Di samping kita mengharapkan jiran yang baik, pastikan diri kita sendiri menjadi jiran yang baik kepada orang lain.

Ini kerana memuliakan, berbuat baik dan tidak menyakiti perasaan jiran adalah lambang kesempurnaan iman tidak kira sama ada jiran tersebut seorang Muslim atau bukan.

Ini kerana, dalil-dalil yang menyebut tentang jiran kebanyakannya bersifat umum, bukan hanya khusus kepada jiran Muslim sahaja. Cuma, jika jiran kita seorang Muslim, selain hak jiran, ada juga hak-hak seorang Muslim yang perlu kita pelihara.

Semoga kita semua menjadi jiran yang baik dan dikurniakan jiran-jiran yang baik juga.

***Ustaz Abd Razak Muthalib merupakan Perunding Latihan dan Motivasi, Akademi Magnet Sukses.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *