Tag: #UNSDG

  • Nabila Razali Antara Tarikan Utama BMC Family 360° Acara Keluarga Mampan Terbesar di Kajang

    Nabila Razali Antara Tarikan Utama BMC Family 360° Acara Keluarga Mampan Terbesar di Kajang

    Pesta keluarga mampan terbesar, BMC Family 360° dengan tema A Step to the Future semakin hampir untuk menemui orang ramai. Acara ini akan berlangsung di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras dari 19 hingga 21 September 2025, bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam. Ia dianjurkan oleh AI Global bersama Majlis Perbandaran Kajang, BMC Mall, iBidan serta CelcomDigi dan merupakan acara keluarga berskala besar yang diadakan buat pertama kali.

    BMC Family 360° diinspirasikan daripada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu. Program ini memberi penekanan kepada nilai kekeluargaan, kelestarian komuniti serta amalan gaya hidup pintar. Pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran, pertunjukan, sesi interaktif dan persembahan hiburan yang sesuai untuk semua peringkat umur.

    Nabila Razali dipilih sebagai jurucakap rasmi acara ini kerana keperibadiannya yang rapat dengan keluarga dan anak muda. Beliau kini giat membuat persiapan sambil mempraktikkan prinsip pembangunan mampan dalam kehidupan sehari hari. Menurutnya, tanggungjawab ini bukan hanya sekadar menghiburkan penonton tetapi juga memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar, kesihatan, pendidikan dan penggunaan sumber secara berhemah. Nabila juga mengamalkan perubahan kecil seperti mengawal penggunaan elektrik dan air serta memastikan kesejahteraan keluarga agar dapat menjadi contoh kepada orang ramai.

    Penyanyi yang mesra dengan panggilan Bella ini menyatakan bahawa perubahan ke arah gaya hidup mampan tidaklah terlalu sukar, yang penting adalah langkah pertama untuk bermula. Beliau bangga diberi peluang menyampaikan mesej bermanfaat ini serta menambah ilmu baharu yang boleh dikongsi bersama masyarakat.

    BMC Family 360° bakal menampilkan pelbagai acara utama seperti majlis perasmian pada 19 September 2025 jam 3 petang bersama tetamu khas dan Nabila Razali. Pada 20 September jam 8 malam pula, persembahan malam bertemakan pembangunan mampan akan diadakan dengan gabungan muzik, budaya serta persembahan istimewa daripada Nabila.

    Antara aktiviti lain termasuk pameran Angkatan Tentera Malaysia, pameran agensi kerajaan, swasta dan NGO berteraskan 17 Matlamat Pembangunan Mampan, mini zoo untuk hiburan kanak kanak serta pertandingan mewarna dan melukis. Turut diadakan pameran inovasi, jualan produk pendidikan, teknologi, kesihatan, makanan serta gaya hidup lestari. Ruang esports dan permainan interaktif juga disediakan untuk ibu bapa dan anak anak.

    Acara ini dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung dari Kajang, Cheras dan seluruh Lembah Klang. Ia merupakan kesempatan terbaik untuk keluarga menikmati hujung minggu yang penuh keceriaan, ilmu dan hiburan. Ayuh sertai BMC Family 360° dan jadikan ia langkah menuju masa depan yang lebih lestari dan sejahtera.

  • Nabila Razali Bawa Energi Segar ke BMC Family 360° Sebagai Duta Jurucakap Acara di Kajang

    Nabila Razali Bawa Energi Segar ke BMC Family 360° Sebagai Duta Jurucakap Acara di Kajang

    AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan serta CelcomDigi mengumumkan penganjuran BMC Family 360°, sebuah pesta dan karnival keluarga berkonsepkan “A Step to the Future”. Acara ini bakal berlangsung di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras dari 19 hingga 21 September 2025, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, dan merupakan karnival keluarga berskala besar yang julung kali diadakan.

    BMC Family 360° berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh nilai kekeluargaan, membina komuniti yang mampan serta menggalakkan gaya hidup pintar. Pelbagai aktiviti interaktif, pameran, pertunjukan dan hiburan telah dirangka untuk semua lapisan umur.

    Menurut Prof Dr Ng Kheng Lun, Ketua Pegawai Eksekutif AI Global, BMC Family 360° bukan hanya sebuah pesta atau karnival, tetapi juga sebuah platform komuniti untuk keluarga melangkah ke arah masa depan yang lebih sejahtera dan berdaya tahan. Beliau menekankan bahawa kekuatan keluarga merupakan asas kepada masyarakat yang makmur dan harmoni.

    Untuk menyerikan lagi acara ini, penyanyi terkenal tanah air, Nabila Razali dilantik sebagai Jurucakap Acara. Nabila dipilih kerana merupakan ikon generasi muda yang berpengaruh dengan perwatakan yang rapat dengan keluarga dan anak muda, selari dengan nilai acara ini. Beliau akan terlibat dalam beberapa segmen utama termasuk sesi bertemu peminat, persembahan khas serta kempen promosi menjelang acara utama.

    Nabila menyatakan bahawa UN SDG memberi panduan dalam membina keluarga yang sejahtera, aman dan makmur, bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga untuk masa hadapan. Beliau menambah bahawa kemampanan bukan hanya berkisar kepada alam sekitar tetapi turut merangkumi aspek sosial dan ekonomi.

    Prof Ng turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Kajang, BMC Mall, iBidan, CelcomDigi serta semua rakan strategik dan penaja yang terlibat dalam menjayakan acara ini. Tema BMC Family 360° pada tahun ini ialah “Selangkah ke Masa Depan”, dengan penekanan bahawa setiap perjalanan besar bermula dengan langkah pertama yang mungkin mencabar tetapi sangat penting.

    Antara pengisian utama BMC Family 360° termasuk pameran dan showcase oleh agensi kerajaan, swasta dan NGO selaras dengan 17 UN SDG, pertandingan esports dan ruang permainan interaktif, pertunjukan kebudayaan serta persembahan khas oleh Nabila Razali, mini zoo untuk hiburan keluarga, dan pameran inovasi yang melibatkan pendidikan, teknologi, kesihatan, makanan dan gaya hidup lestari. Acara ini dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran, dengan tumpuan utama kepada komuniti sekitar Kajang, Cheras dan Lembah Klang.

    AI Global, sebagai penganjur, merupakan sebuah firma penasihat strategik yang komited melaksanakan inisiatif pembangunan mampan serta pengukuhan komuniti.