Tag: #CurryFiesta2024

  • RASA Layan Curry Fiesta 2024 Bawa Semangat Hari Malaysia dengan Hidangan Kari Unik”

    RASA Layan Curry Fiesta 2024 Bawa Semangat Hari Malaysia dengan Hidangan Kari Unik”

    RASA Layan Curry Fiesta 2024 bukan sekadar pesta makanan, tetapi lambang perpaduan yang mencerminkan keunikan dan keistimewaan Malaysia.

    Fiesta ini, yang merupakan pesta makanan terbesar pernah dianjurkan, membawa himpunan pelbagai hidangan kari yang menjadi kegemaran rakyat pelbagai kaum di negara kita. Dari roti canai kari hingga nasi kandar, masakan kari telah lama menjadi penghubung istimewa yang menyatukan rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang atau budaya.

    RASA Layan Curry Fiesta menyaksikan pelbagai jenis kari dari seluruh pelusuk negara, membuktikan bagaimana hidangan ini telah diterima dengan penuh cinta oleh semua lapisan masyarakat. Lebih daripada sekadar makanan, kari mewakili rasa persahabatan dan kesatuan. Setiap suapan bukan hanya memberikan keenakan rasa, tetapi juga mencerminkan kepelbagaian budaya yang membentuk identiti Malaysia.

    Pada 7 September 2024, Majlis Pelancaran yang penuh warna-warni di pentas utama telah dirasmikan oleh YB Tuan Mohd Najwan Halimi, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor. Turut hadir mengiringi beliau ialah Syamil Fahim Mohamed Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv.

    Dalam ucapan perasmiannya, YB Tuan Mohd Najwan Halimi berkata, “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada portal majalah RASA atas penganjuran RASA Layan Curry Fiesta yang julung kali diadakan ini, sempena sambutan Hari Malaysia. Program seperti ini bukan sahaja menghidupkan semangat hari kebangsaan, tetapi juga memperlihatkan bagaimana kari, sebagai hidangan kegemaran ramai, menjadi simbol penyatuan semua kaum di Malaysia.”

    Beliau menambah, dengan tema Satu Malaysia Layan Kari, fiesta ini mengetengahkan pengaruh kari dalam citarasa rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang. Fiesta berskala besar ini juga membuktikan kekuatan industri makanan dan minuman (F&B), dari pengusaha kecil hingga restoran dan pengeluar rempah, yang meraih manfaat daripada minat ramai terhadap hidangan kari. YB Tuan Mohd Najwan turut memuji usaha CSR yang menyumbangkan nasi kandar percuma kepada para penghantar makanan, menjadikan fiesta ini satu contoh ekosistem ekonomi yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

    Sempena sambutan Hari Malaysia, RASA Layan Curry Fiesta 2024 menjadi wadah bagi rakyat Malaysia untuk meraikan keunikan dan kekayaan budaya yang terjalin erat dalam negara ini. Dengan penyertaan ribuan peminat kari dan pengunjung dari seluruh negara, acara ini menonjolkan bagaimana makanan boleh berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan pelbagai komuniti. Di bawah satu bumbung, kita dapat merasai semangat perpaduan dan kekitaan yang menjadi nadi kepada tanah air kita.

    Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim, berkata, “RASA Layan Curry Fiesta 2024 X Havoc Festival bukan sekadar pesta makanan biasa; ia adalah simbol perpaduan serta kekuatan budaya yang memartabatkan Malaysia. Kami amat bangga menganjurkan acara yang bukan sahaja memuaskan selera, tetapi turut menyemai rasa cinta dan hormat terhadap kepelbagaian budaya di negara ini. Sambutan luar biasa yang diterima menunjukkan betapa rakyat Malaysia menghargai warisan makanan yang kaya, dan kami berharap acara seperti ini akan terus memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan serta keharmonian negara.”

    Syamil Fahim juga menyampaikan penghargaan yang tinggi kepada rakan-rakan penaja seperti redONE, Kewpie, Jalen, Hameediyah, Nasi Kandar Ekspress, serta rakan komuniti PRESMA yang memberikan sokongan penuh dalam penganjuran acara besar ini.

    Dengan penggabungan HAVOC Food Festival, program ini berjaya menarik ribuan pengunjung yang datang untuk merasai hidangan-hidangan viral serta pelbagai jenis kari. Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang fiesta ini, termasuk demonstrasi masakan oleh chef terkemuka, pertandingan memasak kari, dan persembahan kebudayaan yang menyemarakkan lagi suasana sambutan.

    RASA Layan Curry Fiesta 2024 bukan sekadar platform untuk menikmati kari yang lazat, tetapi juga memberikan peluang kepada komuniti tempatan untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada komuniti yang lebih luas. Melalui kerjasama erat dengan pelbagai pihak, fiesta ini berjaya mencapai objektif utamanya, iaitu menyatukan rakyat Malaysia melalui makanan, budaya, dan rasa kebersamaan yang tidak ternilai harganya.

  • RASA Layan Curry Fiesta Pesta Kari Terbesar Malaysia Himpun 100 Ribu Peminat!

    RASA Layan Curry Fiesta Pesta Kari Terbesar Malaysia Himpun 100 Ribu Peminat!

    “Satu Malaysia Layan Kari” menjadi slogan yang tepat untuk menggambarkan kemeriahan acara terbesar peminat kari di Malaysia, iaitu RASA Layan Curry Fiesta. Bukan sekadar acara biasa, lebih daripada 100 ribu peminat kari dijangka akan membanjiri RASA Layan Curry Fiesta untuk menikmati pelbagai hidangan berasaskan kari.

    Pesta ini akan menampilkan jualan makanan kari seperti nasi kandar yang paling ‘surr’ dari seluruh negara, nasi Arab, nasi Briyani daripada jenama terkenal seperti Hameediyah, Nasi Kandar Express, Matha’am, dan banyak lagi makanan viral yang pasti memuaskan selera setiap pencinta makanan.

    RASA Layan Curry Fiesta dianjurkan buat pertama kali oleh portal majalah RASA dengan kerjasama HAVOC bersempena sambutan Hari Malaysia. Fiesta ini dijadualkan berlangsung selama empat hari, dari 5 hingga 8 September, di Parking B, Setia City Convention Centre. Acara ini akan berlangsung dari jam 11 pagi hingga 12 malam, memberikan pengunjung peluang untuk menikmati pelbagai jenis makanan sepanjang hari. Lebih menarik lagi, RASA Layan Curry Fiesta akan dimeriahkan dengan acara Syok Fest Kita anjuran ASTRO yang berlangsung serentak di Oval Lawn, Setia City Convention Centre, menambah lagi kemeriahan dengan kombinasi pesta makanan dan hiburan.

    Penganjuran fiesta ini mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Perpaduan Negara, di mana Yang Berhormat Menteri, Datuk Aaron Ago Anak Dagang, akan merasmikan acara ini pada 7 September 2024, jam 4.30 petang. Pada majlis pelancaran tersebut, turut diadakan acara penghargaan kepada 250 penghantar makanan (riders) sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa mereka dalam memajukan industri makanan negara.

    Siapa yang tidak teruja dengan lebih 300 pilihan makanan enak yang ditawarkan? Lebih-lebih lagi apabila pengusaha nasi kandar popular dan lebih daripada 150 usahawan makanan viral turut serta dalam fiesta ini. Dalam erti kata lain, RASA Layan Curry Fiesta adalah pesta makanan yang pasti memenuhi citarasa dan selera semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama, atau latar belakang.

    Mengapa kari menjadi pilihan utama? Kita semua tahu bahawa kari adalah salah satu hidangan yang paling digemari oleh rakyat Malaysia. Kari mempunyai kuasa untuk menyatukan semua lapisan masyarakat. Sejak kecil, kita sudah terbiasa dengan hidangan kari seperti roti canai, yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita. Tidak hairanlah apabila roti canai diiktiraf sebagai salah satu makanan paling popular di dunia.

    Fiesta ini akan turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti dan pempengaruh terkenal tanah air seperti Ojen Aiwahh, Wafi, Akiddos, Lia Maisara, Nasi Maqloba, dan Asfan Shah, yang akan mengadakan persembahan, berniaga di booth, serta menyertai sesi ramah mesra dengan pengunjung. Selain itu, HAVOC akan menganjurkan pelbagai aktiviti menarik seperti Majlis Ilmu: Ilmu Apa Hari Ini, Majlis Havoc Berselawat, sesi Meet & Greet, persembahan busking, pertunjukan Clown & Magic, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Pertandingan Memanah, dan Pertandingan Congkak. Acara ini juga akan mendapat liputan luas daripada pengulas makanan popular seperti KL Foodie, Epi Milaini, Mira Burger, Liana, dan Darus Lantak, yang akan berkongsi pengalaman mereka menikmati pelbagai hidangan yang ditawarkan di RASA Layan Curry Fiesta.

    RASA Layan Curry Fiesta bukan sekadar acara makanan biasa, tetapi satu perayaan kepelbagaian dan keunikan citarasa Malaysia yang menjanjikan pengalaman gastronomi yang sukar dilupakan.

    Rasa Layan Curry Fiesta, bukan sekadar untuk pemburu nasi kandar dan makanan viral lain, tetapi juga acara paling meriah untuk seisi keluarga. Dan sudah tentu turut disokong oleh MBSA selaku rakan PBT, PRESMA dan grup komuniti Nasi Khandaq Hunters.