Konsert Makan Malam Amal The Legends yang dianjurkan sebagai acara kemuncak perayaan jubli perak Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) malam ini berlangsung dengan meriah dan penuh kehangatan, menghimpunkan peminat muzik tanah air serta berjaya mencipta momen kebersamaan yang istimewa. Acara bertempat di World Trade Centre Kuala Lumpur ini turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin sebagai Tetamu Kehormat, menambah seri majlis amal yang berlangsung hampir empat jam itu.
Lebih 500 hadirin hadir menikmati persembahan barisan legenda muzik tanah air, dengan Sweet Charity menjadi tarikan utama yang membawakan rangkaian lagu ikonik merentas generasi. Turut menggegarkan pentas ialah Datuk Khadijah Ibrahim, Kopratasa, Helen Velu, Datuk Andre Goh, Datuk Ito Blues Gang, Mariam Ahmad dan Soma, yang mempersembahkan karya Allahyarham S Atan, sekali gus membangkitkan nostalgia dan emosi penonton sepanjang malam.
Acara malam ini turut menampilkan slot khas Master Guitarist Showcase, menampilkan Man Kidal, Kid Search, Simon Carefree dan Shahrul Ekamatra di atas satu pentas, sebagai penghormatan kepada era kegemilangan muzik rock tempatan. Persembahan hebat para gitaris legenda ini mencetuskan sorakan gemuruh, sambil menambahkan lagi keterujaan penonton dalam suasana penuh kenangan dan kegembiraan.
Selain hiburan, elemen kebajikan menjadi fokus utama malam ini. Hasil kutipan jualan tiket, meja makan dan sumbangan berjaya dikumpul dan disalurkan kepada penggiat seni serta individu yang memerlukan, termasuk Murali Abdullah, Olie Heavy Machine, Salleh Yaacob, Mak Jah, Opie Black Maria dan pelakon Sahronizam. Lelongan amal karya seni tangan pelukis Cheb Ali turut berlangsung, menambah dana untuk Tabung Kebajikan Karyawan.

Suasana malam semakin meriah dengan pengacara dan pelawak Helmi Gimmick yang tidak henti-henti menghiburkan penonton dengan lawak jenakanya, sementara pemain saxophone muda, Kenanga Juwita, turut tampil memeriahkan pentas dan menerima bantuan sebagai salah seorang penerima.
Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, merakamkan penghargaan kepada semua penaja, rakan media, pasukan produksi serta hadirin yang hadir atas sokongan padu mereka. Sebanyak RM100 ribu berjaya dikumpul, menandakan kejayaan konsert ini bukan sahaja sebagai pentas hiburan, tetapi juga platform bermakna untuk menyatukan seni, kenangan dan kemanusiaan bagi masyarakat seni tanah air.
Konsert Makan Malam Amal The Legends berjaya meninggalkan pengalaman yang penuh nostalgia dan inspirasi, memperkukuh semangat kebersamaan serta keprihatinan terhadap penggiat seni yang memerlukan, sekaligus menjadi penutup yang sempurna kepada siri perayaan jubli perak Karyawan.