Bagi lelaki rambut adalah aset penting dalam penampilan mereka yang mampu meningkatkan keyakinan ketika bergaya atau berada dalam khalayak ramai.
Hasrat ingin membantu lelaki tampil bergaya menyebabkan Pengarah Urusan Ghazi Affan Holding Sdn Bhd (Ghazi Affan), Rozailmee Zulkeply mengeluarkan produk pomade berjenama Swag sejak 2016 di negeri Perlis.
Mengimbas detik bermulanya perniagaan tersebut, Rozailmee, 37, berkata, pomade dihasilkan menggunakan formulasi sendiri selepas mempelajari teknik membuatnya di saluran YouTube.
“Saya melakukannya beberapa kali sebelum memperolehi pomade yang tepat dan memasarkannya secara dalam talian serta beberapa pasar malam di sekitar Kangar termasuklah pasar Ramadan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, Selangor baru baru ini.
Beliau berkata, idea untuk menghasilkan pomade tercetus apabila beliau sendiri suka menggayakan fesyen rambut dan memastikan asetnya itu sentiasa kemas.
“Kebanyakan lelaki melihat gaya mereka tidak terbatas kepada pakaian semata-mata kerana rambut turut memainkan peranan penting dalam membantu mereka lebih berketrampilan.
“Penggayaan rambut yang kemas melambangkan lelaki yang maskulin. Saya sendiri mementingkan pengayaan rambut dan dirapi kemas supaya lebih yakin dan selesa,” katanya.
Tambahnya, pada peringkat permulaan, pomade dihasilkan di bengkel sahaja.
Impian
Rozailmee berkata, selepas beberapa bulan menjalankan perniagaan pomade, beliau menemui iklan ‘Road To Hypermarket’ yang ditawarkan oleh Institut Keusahawanan Negara (Insken).
“Majlis Amanah Rakyat (Mara) membantu saya untuk menyertai Insken. Alhamdulilah, saya terpilih untuk pusingan kedua untuk pemilihan ke pasar raya Giant dan Tesco.
“Akhirnya pada tahun 2016 melalui salah satu program yang disediakan oleh Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), saya dipilih untuk bersama Tesco,” katanya.
Katanya, bermulanya daripada situ, produk Swag dipasarkan di 54 cawangan Tesco dan seluruh negara melalui perniagaan dalam talian.
“Swag merupakan antara pomade terawal dihasilkan oleh Bumiputera yang berada dalam pasaran dan berada di pasar raya besar di Malaysia,” katanya. Tambahnya, kini, Swag juga berada di beberapa pasar raya lain antaranya 7 Eleven, Lulu, Chois di Langkawi dan Malakat Mall.
“Swag akan diperluaskan lagi ke beberapa pasar raya baharu seperti Giant, Watson dan MaxValue dalam masa terdekat,” katanya.
Katanya, Swag yang bermula dengan satu produk kini berkembang dan mempunyai 11 rangkaian produk iaitu pomade (Million, Energy, Boss, Focus), Clay, Swag Lite dan gel rambut.
“Buat masa ini, kami mampu mengeluarkan 10,000 unit sebulan untuk memenuhi permintaan di pasar raya dan jualan online serta dua pengedar di utara Malaysia dan Klang Valley,” katanya.
Tambahnya, untuk mengukuhkan kedudukannya, Swag juga akan menembusi pasaran Asia Tenggara seperti Brunei, Singapura dan Thailand.
Bantuan KPDNHEP
Rozailmee berkata, Swag adalah produk tempatan yang turut mendapat bantuan dan bimbingan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Katanya, bantuan pembungkusan dan pelabelan melalui Program Transformasi Produk yang dilaksanakan oleh KPDNHEP membolehkan usahawan-usahawan PKS tempatan mempunyai pembungkusan yang menarik dan boleh diterima serta disenarai masuk oleh pihak pasar raya besar di Malaysia.
“Saya juga diberikan peluang untuk mengikuti kempen sempena Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang dianjurkan oleh kementerian sehingga ke hari ini,” katanya.
Rozailmee berkata, dengan bantuan kementerian juga, beliau berani dan sentiasa kreatif untuk membolehkan Swag menyertai dalam sektor ekonomi khususnya sektor perdagangan dan pengedaran.
“Ia membantu saya lebih bersedia untuk bersaing di pasaran yang lebih besar dan konsisten untuk menjaga kualiti produk,” katanya.
Menurutnya, selain itu, antara bantuan lain yang diterima daripada kementerian ialah promosi di stesen televisyen dan berpeluang mengadakan ‘sampling’ di pasar raya Tesco selama tiga bulan.
“Kami juga berterima kasih kepada kementerian kerana membeli peluang kepada kami sempena Kempen Beli Barangan Malaysia sejak 2017. Banyak manfaat yang diperolehi daripada program itu antaranya memberikan peluang kepada Swag berada dalam rangkaian pasar raya dan pasar raya besar terkenal di negara ini.
“Kami juga berusaha mendidik pelanggan mengenai barangan buatan Malaysia dan banyak kesedaran yang kita boleh lakukan dan promosi barangan untuk pengukuhan jenama produk Swag sekali gus memberikan ‘point’ yang tinggi,” katanya.