SURIA KLCC
Esplanade KLCC menjadi lokasi pelancaran kempen Hari Raya Aidilfiitri serta pameran gah Replika Lampu Pelita yang terbesar di Malaysia yang dihadiri oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBhg. Dato’ haji Zainuddin Abdul Wahab, Pengerusi pihak pengurusan Suria KLCC Sdn Bhd iaitu Encik Md Shah Mahmood, Ketua Pegawai Operasi, Francis Tan serta Pengurus Besar Ammer Thajudeen.
“Seperti yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records 2022, Replika Lampu Pelita terbesar di Malaysia yang berketinggian 17 Meter dan 12 Meter lebar adalah usaha kami dalam menyemarakkan keriangan Ramadan dan Syawal di kotaraya ini. Berdiri sebagai Pusat Beli-Belah Premium di Malaysia, usaha ini dilihat sebagai kerjasama penting dalam mengembalikan keriangan di kalangan kelompok komuniti selaras dengan proses asimilasi pembukaan pelbagai aktiviti setelah melalui tempoh dua tahun perintah kawalan pergerakan” ujar Encik Md Shah Mahmood semasa ucapan pembukaan beliau.
Tema “Raya di Dusun Atuk” diangkat sebagai tarikan utama bagi para pengunjung yang hadir ke kempen sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung sehingga 08 Mei 2022. Keindahan dan kepelbagaian motif yang berwarna-warni di sudut ‘Centre Court’ ditemani hiasan pokok buah-buahan dan cahaya berwarna di samping hiasan cahaya pelita dapat dilihat pada sebuah replika rumah kampung tradisional yang berinspirasikan “Rumah Melayu Melaka”.
Dekorasi yang disediakan semestinya menggambit kenangan nostalgia apabila sebuah kereta Proton Saga juga turut dipamerkan bersama-sama pangkin tersedia sebagai latar belakang. Kempen ini memfokuskan pameran Proton Saga itu untuk mengimbau kembali memori pulang ke kampung menaiki kereta atuk manakala aktiviti permainan tradisional ‘teng-teng’ dan congkak turut diadakan. Aras 1, Ramlee Mall membolehkan setiap pengunjung menikmati momen itu melalui peluang bergambar yang berlatar belakang dusun atuk. Tidak ketinggalan, sudut ‘Family Potrait’ membolehkan pengunjung bergambar bersama keluarga dan mendapatkan kepingan gambar fizikal berserta salinan digital secara percuma untuk dimuat naik di media sosial merupakan langkah inisiatif yang dilakukan oleh Suria KLCC.
Tambahan pula, para pengunjung yang berbelanja melebihi nilai RM 1,500 atau lebih melalui dua resit di mana-mana kedai terpilih bermula dari sekarang sehingga 01 Mei akan diberikan ganjaran baucar membeli-belah Suria KLCC yang bernilai RM 100 dan juga satu pek sampul raya Suria KLCC.
Bermula tempoh sepuluh hari sebelum Hari Raya Aidilfitri menjelma iaitu pada 23 April 2022, sumbangan kurma turut diberikan melalui kaunter pertanyaan kepada pengunjung yang menjalani ibadah puasa.
PUSAT MEMBELI BELAH ALAMANDA
Pusat Membeli Belah Alamanda yang terletak di Putrajaya turut memperkenalkan tema ‘Dusun Atuk’ sehingga 02 Mei 2022. Melaui kempen ini, hadiah istimewa turut diberikan seperti bekas kedap udara seramik dan sampul hari raya Alamanda kepada para pengunjung yang berbelanja bagi setiap pembelian yang bernilai RM 700 dan ke atas melalui dua resit dari mana-mana kedai terpilih.
Selain itu, baucar daripada Manhanttan Fish Market bernilai RM 40 atau selendang eksklusif dari Noor Arfa atau baucar beli belah Alamanda yang bernilai RM 50 akan diberikan kepada pelanggan yang membuat pembelian bernilai RM 1,500 dan ke atas sebagai hadiah tambahan.
Tidak ketinggalan, para pengunjung turut berpeluang untuk menyaksikan aktiviti fesyen dan kecantikan yang menarik seperti tutuorial pemakaian selendang serta aktiviti gubahan bunga hasil dari kolaborasi bersama pihak Alamanda, Bokitta dan Cempak Sari. Disamping itu, persembahan dan aktiviti tradisional turut dipertontonkan untuk menghiburkan para pengunjung seperti caklempong, angklung, inang, tarian zapin, aktiviti menganyam ketupat dan aktiviti origami pelita.
PUSAT MEMBELI BELAH MESRA MALL
Bagi memastikan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2022 kekal meriah, tema ‘Dusun Atuk’ turut diperkenalkan melalui dekorasi pelbagai hiasan pokok buah-buahan yang sinonim dengan suasana kampung di sudut ‘Centre Court’ Pusat Membeli Belah Mesra yang terletak di Kemaman, Terengganu.
Pusat Membeli Belah Mesra turut menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik seperti aktiviti aplikasi ‘henna’ yang berlangsung pada 08 April sehingga 30 April 2022 dari jam 10 pagi sehingga 10 malam dan aktiviti ‘Miss Little Kebaya’ pada 16 April khas untuk kanak-kanak perempuan dalam lingkungan umur 4-6 tahun dan 7-9. ‘Miss Little Kebaya’ merupakan aktviti peragaan baju kebaya yang membolehkan setiap pemenang memenangi hadiah menarik disediakan.
Selain itu, para pengunjung juga bertuah untuk mendapatkan bekas kedap udara seramik dan sepaket sampul raya Mesra bagi perbelanjaan sekurang-kurangnya RM 350 melalui dua resit dari mana-mana kedai terpilih.
Pusat Membeli-Belah Mesra menyambut kemuliaan Hari Nuzul Quran pada 19 April dengan mengedarkan ‘bubur lambuk’ dan 500 peket kurma kepada para pelanggan dan pengunjung. Tambahan pula, sumbangan baju raya beserta duit raya diberikankepada warga emas dari daerah Kemasek oleh pihak pengurusan Mesra bersama pihak berkuasa tempatan dan juga penyewa Pusat Beli-Belah Mesra selaras dengan usaha tanggungjawab sosial.