SUMISAUJANA Group Berhad Sertai Pasaran ACE dengan Fokus kepada Pertumbuhan Mapan dalam Industri Kimia Minyak & Gas

SumiSaujana Group Berhad (“SumiSaujana” atau “Syarikat”), bersama-sama anak-anak syarikatnya, melakar kejayaan baharu apabila secara rasmi disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada hari ini. Saham syarikat dibuka pada harga RM0.18 seunit dan didagangkan di bawah nama saham “SUMI” serta kod “0349”.

Sejak penubuhannya pada tahun 2010, SumiSaujana telah berkembang menjadi antara pemain utama dalam bidang pengeluaran bahan kimia khusus untuk industri minyak dan gas, merangkumi operasi huluan, pertengahan dan hiliran. Kumpulan ini membekalkan pelbagai produk seperti bahan kimia penggerudian, bahan kimia untuk pengeluaran serta aditif penapisan yang menyumbang secara langsung kepada keberkesanan operasi, perlindungan peralatan serta kecekapan proses penapisan. Kepakaran teknikal yang kukuh serta komitmen terhadap kualiti dan inovasi telah membolehkan SumiSaujana memperoleh kepercayaan pelanggan global, dengan lebih 70% hasilnya disumbangkan oleh pasaran luar negara seperti Asia Pasifik, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan benua Amerika.

Melalui tawaran awam permulaan (IPO) ini, syarikat berjaya meraih dana sebanyak RM74.40 juta. Peruntukan dana ini merangkumi pembelian pejabat korporat dan gudang baharu di Puncak Alam (RM40.20 juta), pemerolehan kilang sedia ada (RM18.90 juta), pelaburan dalam teknologi dan tenaga boleh baharu (RM2.08 juta), penubuhan makmal penyelidikan dan pembangunan (RM7.62 juta), serta menampung kos penyenaraian (RM5.60 juta).

Menurut Timbalan Pengerusi Eksekutifnya, Encik Toh Chee Seng, penyenaraian ini merupakan pencapaian penting dalam perjalanan SumiSaujana sebagai syarikat tempatan yang berdaya saing di peringkat global. Ia mencerminkan dedikasi berterusan syarikat terhadap inovasi serta penciptaan nilai jangka panjang. Tambah beliau lagi, status sebagai syarikat tersenarai membuka peluang baharu untuk memperkukuh infrastruktur, mengukuhkan hubungan dengan pelanggan, serta mengembangkan capaian pasaran strategik di luar negara. Komitmen syarikat tetap teguh dalam memberikan pulangan mampan kepada semua pemegang kepentingan.

RHB Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk IPO ini.