Suki Low menghiburkan hati dengan single terbarunya yang berjudul “Terlerai,” lagu tema untuk drama “Salju Rindu di Bumi Auckland.” – 2024

suki low

Penyanyi kesayangan ramai, Suki Low, kini kembali mencuri perhatian industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbarunya, “Terlerai”.

Lagu ini juga menjadi runut bunyi untuk drama bersiri 28 episod, “Salju Rindu Di Bumi Auckland”, yang akan disiarkan secara eksklusif di Tonton mulai 16 September 2024.

Suki Low, yang telah lama dikenali dalam dunia hiburan, memulakan kerjayanya selepas memenangi program realiti “One in a Million” pada tahun 2006. Sejak itu, Suki Low telah membuktikan bakatnya sebagai penyanyi versatil dengan suara yang memukau serta terlibat dalam pelbagai projek muzik dan lakonan.

“Terlerai” merupakan single kedua Suki bersama Alternate Records, yang bukan sahaja menandakan kembalinya Suki ke dunia muzik, tetapi juga menunjukkan kematangan vokalnya. Suki menjelaskan, “Lagu ini berbeza dari apa yang pernah saya nyanyikan sebelum ini.

Ia menggabungkan elemen klasik dengan melodi yang mengingatkan saya pada lagu ‘music box’, dan saya harap ia dapat membangkitkan rasa nostalgia kepada pendengar.”

Proses rakaman lagu ini hanya memerlukan sekitar enam jam, di mana Suki menunjukkan komitmen dan dedikasi yang tinggi sepanjang sesi rakaman. Suki mengakui bahawa “Terlerai” adalah sebuah lagu yang mencabar dari segi vokal. “Lagu ini memerlukan nafas yang stabil dan panjang, terutama pada bahagian Chorus yang perlu disampaikan tanpa henti dan dengan banyak bahagian ‘berbisik’,” jelasnya.

Dengan latihan yang tekun, Suki berjaya menyampaikan lagu ini dengan penuh emosi dan keunikan. Suki berharap lagu ini dapat menyentuh hati pendengar, terutama mereka yang sedang melalui proses penyembuhan dalam kehidupan.

Lagu “Terlerai” ini diterbitkan oleh komposer dan penulis lirik terkenal, Mas Dewangga. Suki menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Mas Dewangga sebagai sangat berharga. “Mas Dewangga adalah seorang yang sangat kreatif dan muziknya selalu mampu menarik perhatian pendengar.

Beliau adalah seorang yang merendah diri, santai, dan memberi ruang kepada penyanyi untuk mengolah lagu mengikut gaya mereka sendiri,” ujar Suki. Melodi dan lirik lagu ini membawa pendengar melalui perjalanan emosi, dengan setiap sudut melodinya berpotensi untuk menyentuh perasaan dan mengimbau kembali pengalaman lampau.

Sebagai sebuah lagu Pop Balada, ia merangkumi elemen kehidupan yang sering dialami ramai, terutamanya dalam konteks hubungan yang berubah dari masa ke masa. Menurut Mas Dewangga, “Suki Low berjaya menyampaikan emosi dalam lagu ini melalui vokalnya yang tenang dan penuh perasaan.” Mas Dewangga menjelaskan bahawa lagu ini diinspirasikan oleh jalan cerita drama “Salju Rindu di Bumi Auckland”.

“Idea untuk mencipta lagu ‘Terlerai’ timbul dari keinginan untuk menggambarkan perjalanan emosi dalam kisah cinta yang penuh cabaran tetapi berakhir dengan kelegaan. Ia bukan sekadar muzik, tetapi sebuah cerita tentang perasaan yang dibalut dalam melodi yang menyentuh. Suki membawa elemen keaslian dan kematangan dalam penyampaian lagu ini, menjadikannya benar-benar hidup,” ujar Mas Dewangga.

Sepanjang kariernya, Suki telah menyumbangkan vokalnya untuk pelbagai OST drama dan filem, termasuk “Siapaku” (Camp Rock – 2008), “Terlalu Mencintaimu” (Naziha – 2011), “Nelangsa” (The Assistant – 2022), dan banyak lagi. Suki terus membuktikan bakatnya sebagai penyanyi yang mampu menyampaikan emosi dan cerita melalui setiap lagunya.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu “Terlerai” nyanyian Suki Low yang telah mula berkumandang di aplikasi dan platform penstriman dalam talian. Dengan gabungan melodi yang indah dan lirik yang penuh penghayatan, “Terlerai” dijangka akan terus mengukuhkan nama Suki Low dalam industri muzik tanah air.

Saksikan drama bersiri 28 episod, “Salju Rindu Di Bumi Auckland”, arahan Shuhaimi Zulkefli, yang menampilkan pelakon seperti Riena Diana, Keith Foo, Nabil Aqil, Emelda Rosemila, dan ramai lagi, melalui aplikasi Tonton mulai 16 September 2024 di laman web www.tonton.com.my. Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, kunjungi akaun rasmi media sosial mereka di Facebook (@alternate.my_), Instagram, dan TikTok (@alternate.rt_).