SHAH ALAM – Bersujud dan bertakwa adalah tanda kepatuhan dan ketaatan seorang hamba kepada Sang Pencipta-Nya.
Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdullah Bukhari Abdul Rahim berkata, melihat dari sudut ibadah haji, sujud merujuk pada kepatuhan umat Islam yang sanggup bersusah payah untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
“Sujud dan haji sangat signifikan. Umat Islam sanggup berhabis wang dan bersusah payah untuk menunaikan haji, ini secara tidak langsung menunjuk pada kepatuhan (kepada ALLAH SWT).
“Takwa pula adalah antara bekalan penting umat Islam, sebagaimana yang ditekankan dalam ayat pertama Surah Al-Hajj yang mengarahkan umat Islam untuk bertakwa kepada ALLAH SWT.
“Jadi, formula takwa dan sujud sangat sesuai untuk membawa kembali kita yang belum pergi haji, yang sedang menunaikan dan alumni haji supaya kembali bertakwa kepada ALLAH SWT dan sentiasa bersujud sehingga ke akhir hayat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjayakan program Arafah #QuranHour 1443H: Haji Membina Umat Bertakwa yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Usuluddin, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Dr Mohd Shafiq Sahimi berkata, haji adalah ibadah himpunan tahunan yang paling besar di dunia yang menghimpunkan seluruh umat Islam di satu tempat.
Bagaimanapun katanya, tidak semua insan diberi kesempatan untuk menjejakkan kaki ke rumah ALLAH SWT itu.
“Mengerjakan haji ini tidak semua orang dapat, maka setiap individu yang diberikan rezeki dan terpilih untuk hadir adalah nikmat besar daripada ALLAH SWT.
“Mengambil contoh kejadian bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis, ini bermakna tidak semestinya (orang) kaya sahaja boleh pergi haji, tetapi sebaliknya dengan pilihan ALLAH SWT.
“Kita mesti tundukkan diri kepada ALLAH SWT supaya kita terpilih sebagai salah seorang daripada tetamu-Nya pada masa akan datang, Insya-ALLAH,” jelasnya.
Pada tahun ini, program Arafah #QuranHour berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal mengangkat Surah Al-Sajdah ayat 15 dan Surah Al-Hajj ayat 18 dan 77 untuk mengajak seluruh manusia bersujud kepada ALLAH SWT.
Turut hadir, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub.
Surah Al-Sajdah dan Surah Al-Hajj dibimbing oleh Qari, Amirahman Abas, manakala sesi tadabbur dijayakan oleh Abdulllah Bukhari dan Mohd Shafiq.
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang