Steel Recon Industries Sambut 50 Tahun Inovasi, Dedikasi, dan Kepimpinan Dalam Keselamatan Kebakaran

Steel Recon Industries (SRI), peneraju dalam pengeluaran peralatan pemadam kebakaran di Malaysia, dengan penuh kebanggaan telah meraikan ulang tahun ke-50 syarikatnya melalui sebuah majlis makan malam gala yang gemilang di Hotel St. Regis Kuala Lumpur. Acara bersejarah ini menandakan lima dekad pencapaian luar biasa dalam bidang keselamatan kebakaran, sekaligus mengukuhkan kedudukan SRI sebagai jenama terkemuka buatan Malaysia yang diiktiraf di peringkat global.

Salah satu detik penting dalam majlis tersebut adalah penyampaian cek bernilai RM50,000 oleh Dato’ Ong Yow Siang, Pengasas dan Pengarah Urusan SRI, kepada YAS Dato’ Ts. Nor Hisham Bin Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Sumbangan ini melambangkan komitmen berterusan SRI terhadap tanggungjawab sosial dan impak positif kepada masyarakat.

Gala yang bertemakan ‘50 Tahun Memimpin Usaha Menentang Kebakaran‘ ini turut memperingati sumbangan besar SRI dalam melindungi nyawa dan harta, serta pencapaian mereka dalam projek-projek ikonik dunia seperti Darling Harbour (Australia), Allianz Arena (Jerman), Menara Berkembar Petronas, KLIA1 dan 2, Tun Razak Exchange (TRX), dan Istana Negara.

Dalam ucapan beliau, Dato’ Ong Yow Siang berkongsi perjalanan syarikat yang bermula pada 1960-an, apabila keperluan untuk membina negara Malaysia yang lebih selamat semakin mendesak. Pada masa itu, kebanyakan peralatan pemadam kebakaran diimport, mengakibatkan kos yang tinggi bagi pemilik harta dan sumber negara. Keadaan ini mendorong penubuhan SRI pada 1974. Walaupun menghadapi banyak cabaran pada awalnya, ledakan perindustrian pada 1980-an memberi peluang untuk SRI mengembangkan produk-produk pemadam kebakaran dengan kepakaran tempatan.

“Pada hari ini, SRI bukan sahaja simbol inovasi, tetapi juga ketahanan Malaysia dalam usaha melindungi nyawa dan harta di peringkat global. Sambutan 50 tahun ini bukan sahaja untuk mengenang pencapaian kami, tetapi juga untuk menghargai sokongan padu daripada pekerja, rakan perniagaan, dan pelanggan yang telah bersama kami sepanjang perjalanan ini,” kata Dato’ Ong.

YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, turut menyampaikan ucapan tahniah melalui rakaman video. Beliau memuji SRI sebagai perintis dalam industri pemadam kebakaran Malaysia, syarikat pertama yang mengeksport peralatan kebakaran ke luar negara dan satu-satunya pengeluar Malaysia yang mendapat kelulusan daripada lebih 20 badan pengawal selia antarabangsa.

Majlis itu turut menghargai 34 pekerja yang telah berkhidmat antara 10 hingga 50 tahun. Penghargaan kepada pekerja yang telah berkhidmat selama 50 tahun diberikan kepada Encik Tan Jee Yee, Pengarah Kerja, yang merupakan anggota pertama yang menerima anugerah tersebut. Encik Tan berkongsi kenangannya bekerja di SRI, yang telah menjadi lebih daripada sekadar tempat bekerja, tetapi juga keluarga yang mendukungnya sepanjang perjalanan hidupnya.

SRI juga memberi penghargaan kepada rakan perniagaan dan pelanggan setia yang terus memberi sokongan padu sepanjang lima dekad. Produk SRI digunakan secara meluas dalam sektor kritikal di seluruh dunia, termasuk di lapangan terbang, loji petrokimia, kilang pembuatan, hangar pesawat, stadium, dan hotel.

Malam gala tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan daripada ikon rock Malaysia, Amy Search, serta suara merdu The Shang Sisters, yang memukau para tetamu dan menjadikan acara tersebut lebih bersejarah.