Stacy Kembali Menggegarkan Panggung Muzik Dengan Single “Mega Ching!”

Ratu tari negara, Stacy, kembali menggegarkan industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Mega Ching!”, sebuah karya yang menampilkan elemen muzik ‘dance’ terkini dengan identiti tersendiri. Lagu ini dicipta sepenuhnya oleh Stacy di bawah nama pena Bunga Cantik dan hadir sebagai simbol ekspresi diri, keyakinan, serta jiwa penghibur yang sudah sinonim dengan penyanyi kelahiran Sabah ini. Kehadiran “Mega Ching!” menandakan kepulangannya dengan identiti muzik yang sering dirindui peminat sejak era awal kariernya.

Bercerita mengenai inspirasi di sebalik lagu ini, Stacy menjelaskan bahawa “Mega Ching!” datang daripada personaliti dan gaya dirinya sendiri. Baginya, lagu ini adalah cara untuk melunturkan rasa gementar dan mendisiplinkan diri ketika menyanyi sambil menari. “Peminat lama pasti tahu, maksud ‘mega ching’ itu sendiri sama seperti ‘Alamak! Terlebih sudah’. Lagu ini juga jambatan untuk mengekspres perasaan dan mengingatkan diri supaya emosi tidak terperangkap lama, terutama dalam industri yang memerlukan mental yang kuat,” kata Stacy.

Proses pembikinan “Mega Ching!” berlangsung dengan teliti dan mengambil masa beberapa bulan. Stacy mendedahkan bahawa lagu ini sepatutnya dibawakan di konsert ‘Aku Stacy’ di Kota Kinabalu pada Jun lalu, namun beliau memilih untuk tidak tergesa-gesa, malah hampir dua hingga tiga kali menukar melodi sepanjang lima bulan proses rakaman.

Sebagai seorang penghibur yang terkenal dengan energi pentas, Stacy menekankan bahawa “Mega Ching!” membawa kelainan total daripada karya-karya terdahulu. Lagu ini menampilkan eksperimen muzik EDM bergaya K-pop yang kini digemari ramai, digabungkan dengan melodi dan lirik yang mengekalkan karakter dirinya. Keunikan lagu ini turut hadir melalui elemen rap pertama kali yang menggunakan dialek Sabah.

“Mega Ching!” membawa rentak yang lebih menyeronokkan, bertenaga dan meningkatkan keyakinan diri. Liriknya mengetengahkan persaingan sihat dengan sedikit unsur sindiran manja, sambil menyampaikan mesej positif “Bring it on!” untuk terus berusaha tanpa putus asa dan yakin dengan kelebihan diri. Stacy berharap lagu ini dapat memberi rasa ‘feel good’ dan aura positif, memotivasikan peminat untuk keluar dari zon selesa dan menghargai keaslian diri.

Maklum balas awal daripada pasukan produksi dan rakan-rakan sangat memberangsangkan. Stacy berkata, “Alhamdulillah, semua beri reaksi positif dan mereka kata ‘Stacy is back’! Semoga lagu ini dapat mengubat rindu peminat setia saya.”

“Mega Ching!” juga merupakan sebahagian daripada projek muzik yang lebih besar. Stacy sedang menyiapkan album baharu, dan lagu ini adalah antara trek yang akan dimuatkan. Mengenai video muzik, Stacy hanya memberi bayangan ringkas, “Surprise!” Single terbitan Nova Music Malaysia ini boleh distrim di semua platform muzik bermula 28 November 2025, manakala video lirik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube ‘Rhythm & Rhyme Entertainment’ pada hari yang sama jam 8 malam.