Spritzer menjangkau 30 dengan mengukuhkan komitmen terhadap alam sekitar. (Memperkenalkan air mineral semula jadi yang kaya dengan silika dalam botol berasaskan Tumbuhan dan berusaha meningkatkan kecekapan menerusi gudang automatik sepenuhnya)

Spritzer menjangkau 30 dengan mengukuhkan komitmen terhadap alam sekitar. (Memperkenalkan air mineral semula jadi yang kaya dengan silika dalam botol berasaskan Tumbuhan dan berusaha meningkatkan kecekapan menerusi gudang automatik sepenuhnya)

PETALING JAYA, SELANGOR — 23 Ogos 2019 — Spritzer Berhad (Spritzer), pengeluar air minuman mineral dalam botol yang terkemuka di Malaysia, menyambut ulang tahun ke-30 pada tahun ini dan syarikat itu meraikannya dengan mengadakan pameran bergerak yang bertujuan mengukuhkan lagi komitmennya terhadap penjagaan alam sekitar.

Bercakap dalam majlis pelancaran rasmi pameran bergerak yang bertajuk “30 years of Natural Goodness” yang diadakan di Pusat Membeli Belah Sunway Pyramid, Dr. Chuah Chaw Teo, pengarah R&D Spritzer, berkata bahawa pemeliharaan alam sekitar sentiasa menjadi teras operasi syarikat sejak daripada mula lagi.

“Sejak mula beroperasi, kami melihat pencemaran alam sekitar sebagai sesuatu yang serius kerana kami memahami kesannya terhadap kualiti air serta kerosakan terhadap sumber air yang sudah sedia terhad di negara ini,” Chuah berkata.

“Atas sebab inilah Spritzer mengambil inisiatif untuk melabur dan membeli tanah seluas 330 ekar atau anggaran 266 padang bola, dan dikelilingi oleh hutan hujan tropika yang subur dan terletak jauh daripada pencemaran bagi mewujudkan zon selamat bagi sumber air kami. Langkah ini dapat melindungi integriti, kualiti, keselamatan dan ketulenan sumber air mineral semula jadi,” beliau berkata sambil menjelaskan bahawa air mineral semula jadi syarikat tidak disentuh oleh tangan manusia dan dimasukkan terus daripada sumber ke dalam botol.

“Seterusnya, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kami dan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang awam tentang kepentingan mengamalkan kemapanan sebagai gaya hidup, kami mendirikan Spritzer EcoPark di tengah-tengah kemudahan ini, di mana pengunjung dialu-alukan untuk berehat dan menikmati keindahan alam yang dikelilingi oleh flora dan fauna semula jadi tanpa gangguan manusia,” Chuah berkata.

Spritzer EcoPark telah dibuka kepada orang ramai pada Julai 2015. Taman ini menampilkan pelbagai aktiviti dan daya tarikan rekreasi, pendidikan dan pelancongan termasuk menjejak hutan, memerhatikan burung, bermain golf di padang golf mini 18 lubang, galeri pelawat, lawatan berpandu untuk proses pembotolan air syarikat dan banyak lagi.

“Usaha kami tidak berhenti setakat ini sahaja, malah kami terus melaksanakan inisiatif di taman untuk mengukuhkan ekosistem, serta mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi terhadap keperluan untuk melindungi dan memelihara alam sekitar kita,” Chuah berkata sambil menambah bahawa syarikat baru-baru ini telah menanam lebih 16,000 pokok untuk mempertingkatkan kepelbagaian biologi taman ini.

Chuah juga menyatakan bahawa usaha memelihara alam sekitar oleh Spritzer bukan setakat melindungi sumber dan bekalan air milik syarikat. “Kami juga mahu memastikan usaha kami tidak terbatas dengan hanya memulihara dan melindungi alam sekitar, tetapi merangkumi amalan yang lebih mampan dengan menggabungkan beberapa inisiatif ini ke dalam kitaran hayat produk kita,” beliau berkata.

Sebagai contoh, Chuah menunjuk kepada botol air mineral syarikat yang disediakan dengan ciri khas ‘twist and turn’, menjadikan bekas ini mudah dilipat, seterusnya menjimatkan sehingga 57% ruang dalam tong kitar semula.

“Kami turut memperkenalkan ACILIS, air mineral semula jadi kaya silika dari Spritzer yang dijual dalam botol berasaskan tumbuhan yang tidak toksik dan boleh urai yang pertama di Malaysia,” beliau berkata.

“Pengenalan ACILIS merupakan satu lagi usaha penting yang bertujuan untuk menawarkan para pelanggan yang peka alam sekitar dengan air mineral semula jadi berkualiti tinggi yang menggunakan alternatif kepada botol air mineral biasa yang terdapat di rak,” Chuah menambah.

“Botol berasaskan tumbuhan ini mesra alam kerana 30% daripada bahan plastik yang digunakan untuk membuatnya berasal dari serat dan bahan lain yang dibuang dan tidak digunakan daripada tebu atau jagung,” jelas beliau.

“Tambahan lagi, pengilangan botol-botol ini menghasilkan kurang pelepasan CO2, manakala botol pula 100% boleh dikitar semula,” tambah beliau lagi.

“Bagi memastikan kelestarian alam sekitar dalam operasi kami, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kami melabur dalam gudang automatik sepenuhnya yang dilengkapi dengan ciri-ciri bangunan hijau, dan dijangka memulakan operasi awal tahun depan,” jelas beliau lagi.

“Gudang ini yang dibina di tapak kami yang sedia ada di Taiping, bernilai lebih RM45 juta dan akan menampilkan peralatan termaju, sistem hubungan pintar dan memanfaatkan loT untuk memacu kecekapan yang lebih tinggi dalam operasi kami,” beliau berkata.

Pameran bergerak Ulang Tahun ke-30 Spritzer kini diadakan di Sunway Pyramid mulai 22- 25 Ogos dan dibuka kepada orang ramai. Para pengunjung pameran boleh mengetahui lebih lanjut tentang usaha syarikat ke arah kemapanan dan mereka boleh mengambil bahagian dalam pelbagai program dan aktiviti yang disediakan seperti menanam pokok dengan air mineral Spritzer, gerai foto, seni campuran teh, demonstrasi masakan dan banyak lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *