Sistem pengecaman wajah bermula tahun ini

SYARIKAT penerbangan tambang rendah AirAsia akan melaksanakan pemeriksaan keselamatan berdasarkan sistem pengecaman wajah di balai berlepas lapangan terbang terpilih di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Aireen Omar berkata, ketika ini projek perintis teknologi itu dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.

“Sejak ujian perintis itu bermula, kami telah memperkukuh dan menambah baik keseluruhan teknologi itu dan akan melancarkan (sistem) tersebut di beberapa lapangan terbang di seluruh Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Aireen berkata, syarikat penerbangan itu bekerjasama dengan pelbagai pihak khususnya Malaysia Airport Holdings untuk melancarkan sistem pengecaman wajah tersebut di lapangan terbang terpilih.

Katanya, AirAsia bercadang melaksanakan sistem pengecaman wajah itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan klia2 selepas diperkenal di Senai.

Beliau berkata, syarikat penerbangan itu juga merancang menggunakan sistem keselamatan itu di laluan Kuala Lumpur-Avalon.

“Laluan Kuala Lumpur-Avalon akan menjadi laluan rentas sempadan pertama yang menggunakan teknologi pengecaman wajah. Ketibaan penumpang di Lapangan Terbang Avalon juga akan menggunakan teknologi itu,” kata Aireen.

Terdahulu beliau menghadiri pelancaran Hackathon Aviatar 2019 oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dr Mohd Nor Azman Hassan.

Pertandingan selama tiga hari yang bermula hari ini bertujuan menggalakkan inovasi dan pemikiran kreatif dalam bidang aeroangkasa dan menyasar untuk menarik minat lebih 300 penuntut kolej dan universiti untuk meneroka dan meningkatkan pemikiran berasaskan digital dalam bidang penerbangan pada masa depan.

Pertandingan itu adalah anjuran AirAsia bersama-sama Kementerian Pendidikan, Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia dan Persatuan Industri Aeroangkasa Perancis.

Ia turut mendapat kerjasama Invest Selangor, University of Nottingham Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi dan Pejabat Penyelaras Industri Aeroangkasa Kebangsaan. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *