Single Zizi Safira ‘Merana’ Bakal Gegarkan Platform Digital Mulai 6 Disember!

Penyanyi berbakat dari Sabah, Zizi Safira, mengorak langkah baru dalam industri muzik Malaysia dengan kemunculan single terbarunya, Merana. Lagu yang diterbitkan oleh Alternate Records & Talent ini mempersembahkan gabungan elemen muzik moden EDM dan sentuhan tradisional Nusantara, menjadikannya satu karya yang unik dan wajib didengari.

Zizi Safira yang dikenali dengan suara bertenaga dan mengasyikkan, mula mencipta nama dalam dunia nyanyian secara profesional sejak 2018. Sejak itu, beliau aktif menyertai pelbagai pertandingan nyanyian dan telah merakamkan tiga single yang dilancarkan di Sabah. Beliau meraih pencapaian membanggakan apabila menjuarai salah satu episod program popular TV3, I Can See Your Voice Malaysia, pada Julai 2024.

Single Merana dihasilkan oleh komposer terkenal, Mas Dewangga dan Jova Devito, dan menceritakan kisah tentang seseorang yang menghadapi tekanan emosi tetapi memilih untuk melawan kesakitan dengan penuh semangat dan keyakinan. Lagu ini menyampaikan mesej mendalam tentang ketabahan dan keberanian dalam menghadapi cabaran hidup.

“Lagu ini sangat berbeza dengan apa yang pernah saya nyanyikan sebelum ini. Gabungan bunyi tradisional yang sangat menyentuh jiwa dengan elemen moden membuatkan saya jatuh cinta pada lagu ini sejak pertama kali mendengarnya. Saya sangat teruja untuk mencabar diri dan memberikan yang terbaik,” kata Zizi Safira.

Zizi Safira juga berkongsi pengalamannya bekerja dengan komposer Mas Dewangga, yang dianggapnya sebagai sesuatu yang penuh magik. “Kerjasama dengan Abang Mas Dewangga sangat bermakna kerana beliau memberi kepercayaan sepenuhnya kepada saya untuk menyampaikan lagu ini mengikut cara saya sendiri. Proses rakaman juga sangat cepat dan lancar. Cabaran terbesar dalam lagu ini adalah untuk menyampaikan emosi yang mendalam dengan karakter sinis, sambil mengawal vokal dan pernafasan untuk mencapai kesan yang maksimum,” ujar Zizi.

Merana membawa genre EDM ke tahap yang lebih tinggi dengan elemen progressive house dan pop-dance yang digabungkan dengan instrumen muzik tradisional. “Zizi adalah seorang penyanyi yang bertenaga dan profesional. Vokalnya memberi impak besar, menjadikan lagu ini lebih daripada sekadar lagu EDM biasa,” kata Mas Dewangga. Beliau berharap Merana dapat mencipta fenomena tersendiri dan menjadi pilihan utama pendengar di platform digital dan acara muzik.

Lagu Merana boleh didengari di semua platform digital mulai 6 Disember 2024. Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talent, layari akaun rasmi media sosial mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.