Single ‘Terpikat’ Membawa MissAlvy Ke Fasa Baru Dalam Karier Seni

Pempengaruh media sosial yang kini mula mencipta nama dalam dunia seni, Alvynna Joanna Joseph, atau lebih dikenali sebagai MissAlvy, baru-baru ini melancarkan single sulungnya yang berjudul “Terpikat”. Lagu ini merupakan hasil kerjasama antara komposer muda Nuha Nik, Fahimi Rahmat, dan Brendonse7an, serta diterbitkan oleh label terkenal, Rocketfuel Entertainment.

Dalam satu temubual, MissAlvy yang juga dikenali melalui watak Siew May dalam drama bersiri popular “Kelas Tahanan Cikgu Hiragi” di Astro, berkongsi bahawa impiannya untuk menjadi penyanyi akhirnya menjadi kenyataan. “Saya tak sangka akan sampai ke tahap ini. Sebagai seorang influencer, saya hanya berkongsi gambar dan video untuk keseronokan, namun tak disangka peluang berlakon dan akhirnya menyanyi pula datang,” ujar MissAlvy.

Pelantikan beliau sebagai artis oleh Rocketfuel Entertainment adalah satu langkah besar dalam kariernya. “Muzik sudah lama menjadi sebahagian daripada hidup saya. Walaupun saya bermula sebagai influencer dan pelakon, saya akhirnya mengambil langkah untuk mengejar impian menjadi penyanyi,” tambahnya.

Menurut Cik Sher Leen Wee, Ketua Rocketfuel Entertainment, bakat semulajadi MissAlvy dalam lakonan dan nyanyian wajar diberikan ruang untuk berkembang. “MissAlvy memiliki keunikan yang luar biasa. Dia bukan sahaja berlakon dengan baik, malah memiliki suara yang berpotensi untuk komersial. Kami percaya lagu ini akan membantu beliau dikenali ramai,” jelas Cik Sher Leen.

“Terpikat” mengisahkan perasaan seseorang yang jatuh cinta secara diam-diam, menyentuh perasaan ketakutan dan keterujaan dalam meluahkan perasaan terhadap seseorang yang kita suka. “Lagu ini menggambarkan perasaan ‘crush’ yang saya alami. Saya yakin ramai yang boleh relate dengan perasaan itu,” kata MissAlvy mengenai lirik lagu yang dicipta berdasarkan pengalaman peribadinya.

Dengan elemen muzik pop yang segar dan penuh tenaga, serta pengaruh muzik EDM, “Terpikat” dijangka akan diterima baik oleh pendengar muda masa kini. “Proses rakaman lagu ini memakan masa hampir setahun kerana saya mahu memastikan setiap elemen sesuai dengan jiwa saya. Proses itu sangat menyeronokkan dan saya sangat berpuas hati dengan hasilnya,” tambah MissAlvy.

Single “Terpikat” kini boleh didengar melalui pelbagai platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, Deezer, dan YouTube Music. MV untuk lagu ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Dengan pelancaran ini, MissAlvy berharap lagu “Terpikat” dapat mendekatkan dirinya dengan peminat, selain memberi inspirasi kepada semua yang mendengarnya. Beliau juga bertekad untuk terus meneroka pelbagai genre muzik dan memberi yang terbaik dalam setiap karya yang dihasilkan.