SIENNA SPIRO ialah penyanyi dan penulis lagu dari London yang kini semakin diiktiraf sebagai antara bakat paling menonjol dalam landskap muzik global. Dengan vokal soulful yang unik serta kejujuran dalam penceritaan lirik, namanya mula mendapat perhatian peminat antarabangsa sehingga digelar sebagai “New Adele” generasi Z, merujuk kepada keupayaannya menyampaikan emosi secara dekat dan menyentuh perasaan pendengar.
Sepanjang setahun kebelakangan ini, SIENNA mencatat pelbagai pencapaian membanggakan dalam perjalanan kerjayanya. Beliau terpilih sebagai Vevo DSCVR Artists to Watch 2026 dan turut mencuri tumpuan menerusi EP sulungnya, SINK NOW, SWIM LATER yang dilancarkan pada awal 2025. Projek tersebut menampilkan beberapa lagu yang mendapat sokongan awal daripada nama besar industri muzik antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai artis baharu yang wajar diberi perhatian.
Antara karya yang melonjakkan namanya ialah lagu “MAYBE.” yang merekodkan lebih 125 juta penstriman di seluruh dunia serta pernah menduduki carta viral Spotify di empat negara. SIENNA turut mencipta detik penting apabila membuat debut televisyen di The Late Show with Stephen Colbert, menyertai jelajah musim panas Teddy Swims, selain menjadi artis pembuka tirai kepada Sam Smith dalam residensi eksklusif di Brooklyn, New York.

Di Malaysia, SIENNA mula mencetuskan fenomena tersendiri menerusi single terbaharunya, “Die On This Hill” terbitan Capitol Records. Lagu tersebut menerima sambutan luar biasa daripada peminat tempatan apabila berjaya menembusi carta utama penstriman dengan kedudukan ke-12 di Spotify Top 50 Malaysia serta ke-41 di Spotify Top 50 Global, membuktikan penerimaan kukuh terhadap karya beliau di pasaran Asia Tenggara.
Populariti “Die On This Hill” turut diterjemahkan melalui gelombang kandungan kreatif di media sosial apabila ramai artis tempatan dan pempengaruh berkongsi video cover serta interpretasi peribadi mereka terhadap lagu ini di Instagram dan TikTok. Fenomena tersebut menjadikan lagu ini antara balada antarabangsa paling tular di TikTok Malaysia ketika ini, sekali gus memperluaskan jangkauan SIENNA dalam kalangan pendengar tempatan.
Dilancarkan pada Oktober 2025, “Die On This Hill” memperlihatkan kematangan SIENNA dalam menterjemahkan kisah emosi ke dalam karya muzik. Lagu ini dihasilkan bersama barisan penerbit tersohor dunia dan diperkayakan dengan susunan orkestra yang mengangkat kekuatan vokalnya, mengimbangi kegetiran perasaan dan keteguhan jiwa. Melalui single ini, SIENNA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu suara baharu paling berpengaruh dalam industri muzik global hari ini.