Industri hip-hop tempatan kembali meriah dengan pelancaran single terbaharu berjudul “Serangan Radikal”, hasil kolaborasi dua artis hip-hop, Eddie G dan Chubb-E. Dilancarkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd, “Serangan Radikal” mengetengahkan pendekatan hip-hop sosial yang menyentuh pelbagai fenomena dan budaya masyarakat moden menerusi susunan muzik santai serta lirik yang bersahaja. Lagu dan lirik “Serangan Radikal” dihasilkan sendiri oleh Eddie G dan Chubb-E. Menurut Eddie G, judul tersebut merujuk kepada satu bentuk “serangan minda” yang digunakan untuk menyampaikan mesej tanpa sebarang tindakan fizikal. Chubb-E pula melihat karya ini sebagai ruang untuk mereka menyampaikan pandangan secara jujur menerusi pendekatan muzik tersendiri. Baginya, “Serangan Radikal” menggambarkan satu bentuk serangan yang berbeza, sukar diramal dan mempunyai identitinya sendiri. Menerusi liriknya, lagu ini menyentuh isu kehidupan seharian termasuk fenomena media sosial, budaya menunjuk-nunjuk, sifat cemburu, masalah di tempat kerja, ketagihan hiburan serta kecenderungan menghakimi sesuatu perkara tanpa pengetahuan yang mencukupi. Eddie G atau Eddie Ghiller sebelum ini dikenali sebagai anggota kumpulan Tiga Swagger sebelum bergerak solo. Beliau turut dikenali menerusi karya seperti “Cerita Sama”, “Setiap Waktu Engkau Gemerlap (S.W.E.G.)” dan “Yataghayar” bersama Asfan Shah, selain mempunyai pendekatan penulisan yang banyak berkisar tentang kehidupan sosial. Sementara itu, Chubb-E atau Muhammad Sharul Ashlyn mula mendapat perhatian selepas menjuarai Ceria Megastar dan memenangi anugerah Artis Baharu Lelaki Popular ABPBH 33. Beliau turut dikenali menerusi penglibatan dalam siri Projek: Anchor SPM serta aktif sebagai komposer dan penerbit muzik. “Serangan Radikal” tidak bertujuan menyerang mana-mana pihak, sebaliknya menjadi cerminan dan peringatan bersama terhadap mentaliti masyarakat hari ini. Lagu ini mengajak pendengar untuk menilai semula cara hidup dalam dunia yang dipengaruhi perubahan sosial dan media. Selain single tersebut, Luncai Emas Sdn Bhd turut memperkukuhkan karya ini menerusi sebuah video muzik arahan pengarah dari Nigeria, Moses atau Mosesvisuals. Video muzik berkenaan dirakam dalam sebuah studio dengan konsep visual yang disesuaikan dengan identiti lagu. “Serangan Radikal” kini boleh didengari dan dimuat turun menerusi platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan KKBOX. Video muzik rasmi pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas. Post navigation 3DIVA Kembali ke Kuala Lumpur Menerusi TIMELESS pada 22 November Bakal beraksi di pentas Singapura 5 Disember ini, kumpulan legenda remaja tanah air bukti relevansi dan keutuhan legasi muzik selepas lebih 20 tahun.