Sentuhan Nadi: Momen Istimewa antara Peminat, Jobranko, dan Yonnyboii

sentuhan

Sentuhan Nadi, sebuah acara istimewa yang diadakan hari ini di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, menjadi platform bagi pemain gitar legenda Jobranko dan penyanyi berbakat Yonnyboii untuk berinteraksi secara dekat dengan 20 peminat bertuah.

Acara ini berlangsung dari jam 3 petang hingga 6 petang, memberikan peluang kepada peminat untuk meluangkan masa berkualiti bersama idola mereka, mencipta kenangan yang tidak akan dilupakan.

Sentuhan Nadi adalah tanda penghargaan Jobranko dan Yonnyboii kepada peminat yang setia menyokong perjalanan muzik mereka. 20 peminat bertuah ini dipilih melalui peraduan ‘cover’ lagu Nadi yang diadakan dari 6 hingga 28 Ogos lalu di media sosial. Peserta perlu memuat naik cover terbaik mereka dengan gaya tersendiri dan menyertakan hashtag #SentuhanNadi dan #NadiSongCover.

sentuhan

Kemuncak acara ini adalah pengumuman pemenang yang bertuah membawa pulang sebuah gitar istimewa yang ditandatangani oleh Jobranko dan Yonnyboii. Gitar ini ditaja oleh Music Bliss Malaysia bersama ERA, menjadikannya hadiah yang sangat berharga dan penuh makna, terutama kerana diserahkan terus oleh idola mereka.

Sentuhan Nadi juga menjadi momen istimewa bagi Jobranko dan Yonnyboii untuk berhubung secara peribadi dengan peminat mereka. Biasanya hanya dapat melihat peminat dari atas pentas, acara ini memberikan peluang berharga untuk berkongsi cerita dan pengalaman secara lebih mendalam. Para peminat juga berpeluang untuk bertanya soalan yang sudah lama terpendam dan mendapatkan ilmu daripada kedua-dua bintang ini.

Acara ini turut dimeriahkan dengan persembahan eksklusif daripada Jobranko, Yonnyboii, dan penyanyi berbakat Asyraf Nasir. Yonnyboii mempersembahkan lagu solonya “Salahku”, berduet dengan Asyraf dalam lagu “Tak Sangka”, dan bergabung dengan Jobranko dan kugirannya untuk lagu “Nadi”, menciptakan kombinasi luar biasa antara artis lama dan muda.

sentuhan

“Nadi”, lagu kolaborasi Jobranko dan Yonnyboii yang dilancarkan pada akhir Jun lalu, telah mendapat sambutan hangat. Muzik video rasminya di YouTube telah ditonton lebih 211,000 kali, dan jumlah pendengar di platform penstriman muzik terus meningkat.

Yonnyboii percaya lagu ini, yang diinspirasikan dari pengalaman peribadinya, mampu menyentuh hati ramai pendengar dan memberikannya kelegaan setelah dapat menyalurkan emosinya melalui muzik.