SENQ Digital Station menyasarkan produk baharunya, Bio Pure N-Series iaitu model N-200 dan N-400 yang menggunakan sistem osmosis terbalik (R.O) 4- peringkat berteknologi tinggi akan terjual sebanyak 1.2 juta unit menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Urusannya Senheng Electrical (KL) Sdn Bhd (Senheng), Lim Kim Heng optimis sasaran itu akan dicapai berikutan hanya 10 peratus penggunaan sistem penulenan air berada dalam pasaran tempatan dan perniagaan ini berpotensi besar untuk diterokai.
Menurutnya, keyakinan Senheng terhadap sistem pembersihan air Bio Pure juga mendorong SenQ menceburi bidang perniagaan sistem penulenan air dan ia bertujuan untuk menambahkan kepelbagaian produk untuk pilihan pelanggan kami.
“Malaysia dianggap sebagai salah satu pasaran terbesar bagi pasaran penulenan air di Asia Tenggara, berjumlah kira-kira RM3.1 bilion dengan 892,000 unit dijual dalam tahun 2018 dan dijangka ia akan meningkat kepada RM4.2 bilion dengan jualan 1.2 juta unit akan dijual.
“Peningkatan kebimbangan mengenai kualiti air minuman dan kempen penulenan air yang komprehensif akan membantu meningkatkan permintaan sistem penulenan air pada masa akan datang,” katanya pada pemberita selepas pelancaran Bio Pure Water Purifier di Petaling Jaya, semalam.
Kim Heng berkata, bermula 30 April sehingga 30 Jun 2019, Bio Pure N-Series boleh didapati di outlet SenQ dan Senheng sekitar Lembah Klang.