Suasana Hari Raya diraikan penuh meriah di Balai Berita, Bangsar menerusi Majlis Hari Raya Dapur Panas Digital, hasil kerjasama TV3, Alternate Records, serta disokong oleh F&N sebagai penaja utama dan Pepper Labs sebagai rakan kolaborasi. Majlis eksklusif ini turut mengumpulkan barisan pengurusan tertinggi Media Prima, wakil korporat, pasukan Dapur Digital, serta selebriti popular tanah air.
Majlis dimeriahkan dengan persembahan bertenaga daripada artis-artis naungan Alternate Records termasuk Marygrace, Kai Deva, Mariam, Zazzleen, serta persembahan memukau dari Ameerais, Suara, Zizi Safira dan Wanie Ooi. Selebriti Media Prima seperti Mior Malek Raiyani, Amirulhakim Lokman, Fariha Onn, Fiza Sabjahan, dan ramai lagi turut memeriahkan acara.
Salah satu sorotan utama ialah demonstrasi penyediaan teh tarik oleh usahawan Dapur Digital dari Kerinchi, Puan Masri Binti Md Husin, yang menggunakan produk F&N. Aksi beliau mencuri perhatian dan menambahkan elemen interaktif dalam suasana yang penuh nostalgia dan keakraban.
Majlis turut dihidangkan dengan aneka juadah istimewa seperti nasi tomato, mi kari, popia karbonara, puding karamel, agar-agar sirap, sirap bandung, dan teh tarik semuanya disediakan oleh pasukan Dapur Digital menggunakan produk F&N termasuk Krimer Manis dengan Kalsium dan Krimer Sejat Penuh Krim Ideal. Minuman 100PLUS ACTIVE dan 100PLUS ZERO menambah kesegaran majlis pagi itu.
Acara ini turut menandakan penutup rasmi kempen Dapur Panas Digital, sebuah inisiatif inspiratif oleh TV3 dan Pepper Labs, disokong oleh F&N. Kempen ini menyasarkan pemerkasaan wanita komuniti B40 khususnya dari kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan menyediakan peluang perniagaan sepanjang Ramadan lalu.
Melalui kempen ini, para usahawan diberi peluang berniaga di lokasi strategik Bazaar Ramadan seperti Kg Baru, Bangsar Baru dan Wangsa Maju, dengan juadah berasaskan produk F&N dan minuman rasmi 100PLUS. Kehadiran selebriti seperti Fiza Sabjahan, Rena Hazrena, Nurin Ramzyn, dan lain-lain turut menceriakan suasana bazar.
Untuk menyaksikan kisah-kisah inspirasi para usahawan wanita ini, ikuti kandungan digital di platform media sosial rasmi TV3 dan jangan ketinggalan menonton segmen khas Dapur Panas Digital dalam program Wanita Hari Ini (WHI) pada Isnin, 28 April 2025.