SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN MALAYSIA DISEMARAKKAN DENGAN 4 EPISOD KHAS MAJALAH 3

SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN MALAYSIA DISEMARAKKAN DENGAN 4 EPISOD KHAS MAJALAH 3

Majalah 3 di TV3 tidak pernah mengecewakan peminat setianya dengan dokumentari yang menyediakan kisah unik Malaysia dari unsur kemanusiaan, budaya, makanan, teknologi, sukan dan alam sekitar. Sehubungan dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, Majalah 3 akan menyiarkan empat episod khas bermula 21 Ogos 2023, jam 9.00 malam di TV3 dan siaran langsung HD di www.tonton.com.my

Menurut Penerbit Kanan Majalah 3, Christine Lee Mei Chin, “Istimewa buat tontonan ramai di bulan kebangsaan, Majalah 3 memaparkan 4 episod khas untuk menaikkan semangat patriotisme rakyat Malaysia. Barisan wartawan Majalah 3 yang berpengalaman bakal menelusuri kisah-kisah menarik yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia. Kami amat berterima kasih kepada semua pihak yang memudahkan urusan kru Majalah 3 dari peringkat menjalani penyelidikan, mencari informasi, proses penggambaran sehinggalah pasca penerbitan. Ribuan terima kasih atas bantuan dan kepercayaan yang diberikan kepada kru Majalah 3 untuk meneruskan misi kami menghasilkan dokumentari terbaik buat tatapan umum.”

“Istimewa di bulan kebangsaan Malaysia, Ikuti kisah di sebalik tabir penganjuran acara bertaraf dunia iaitu Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi, LIMA’23 pada 21 Ogos, menjejak khazanah negara di samudera ataupun belantara pada 28 Ogos, mengetengahkan aneka masakan berperisa pedas dalam kuih muih dan lauk pauk yang menyatukan rakyat negara ini pada 4 September serta kisah di sebalik tabir pembinaan menara Merdeka 118 pada 11 September 2023,” tambah beliau lagi. 

Berikut ialah sinopsis bagi 4 episod khas tersebut.

Tarikh siaran: 21 Ogos 2023

Acara bertaraf dunia Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi, LIMA’23 kembali menggegarkan negara selepas tergendala beberapa tahun akibat pandemik COVID-19. Ketika penggambaran, wartawan bertugas Zerry Francis dan Nor Izzati Lockman bersama kru telah diberi akses khas mendekati pelbagai pesawat dan kapal dari luar negara, serta latihan persiapan daripada pelbagai agensi penguatkuasa Malaysia. 

Tarikh siaran: 28 Ogos 2023

Majalah 3 ingin mengajak penonton untuk mengikuti kisah komitmen segelintir rakyat Malaysia menjejak khazanah berkaitan sejarah negara baik di samudera, mahupun belantara bagi menghayati nilai sejarah secara dekat. Wartawan bertugas liputan ini Mohd Rose Abdullah dan Nur Aishah Al-Husna Ramli perlu menempuh laut dalam dan kawasan pergunungan bersama kru bagi merakam penemuan penjejak berkenaan terhadap Kapal Nichi Asu Maru, sebuah kapal Jepun yang membawa minyak pesawat yang karam ditembak British dalam perjalanan ke Sabah dan Sarawak pada 1960. Mereka juga menjejaki rangka helikopter jenis Bristol milik tentera Amerika Syarikat, yang difahamkan terhempas pada 1957 di belantara Malaysia.

Tarikh siaran: 4 September 2023

Bertepatan dengan tema kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia iaitu Manis Pahit Bersama, episod ini mengetengahkan tema makanan berperisa pedas dalam kuih muih dan lauk pauk yang menyatukan rakyat negara ini. Ikuti laporan wartawan bertugas Asyraf Naqiuddin Samsuri mengecapi pelbagai menu masyarakat Melayu, Cina dan India yang menyerlahkan perpaduan semua kaum ini.

Tarikh siaran: 11 September 2023

Majalah 3 memaparkan kisah di sebalik tabir pembinaan menara Merdeka 118 yang kini pencakar langit kedua tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia, yang membawa nama Malaysia ke persada dunia. Wartawan bertugas Zerry Francis bersama kru telah mengambil masa setahun mengikuti proses pembinaan fasa akhir menara ini dan kemuncaknya satu kejutan akan dibuat pada 31hb Ogos.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan 4 episod khas Majalah 3 bersempena dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bermula 21 Ogos 2023, setiap hari Isnin, pukul 9.00 malam dan anda juga boleh strim secara langsung dalam HD di www.tonton.com.my.Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.

Merdeka #Majalah3 #tv3 #harikebangsaan