Saksikan Gandingan Mantap Aniq Suhair & Siti Khadijah Halim Di Akasia: Sekali Lagi Cinta Kembali

Saksikan Gandingan Mantap Aniq Suhair & Siti Khadijah Halim Di Akasia: Sekali Lagi Cinta Kembali

Petaling Jaya, 14 September 2022 – Kerana jenayah lampaunya, lelaki ini menutup pintu hatinya kepada mana-mana wanita. Hatinya tertutup kerana dia tidak mahu menyakiti wanita lagi. Mampukah Aira memecahkan halangan dan memenangi cinta Hayyat? Sekali Lagi Cinta Kembali, drama terbaharu menyerikan slot Akasia, akan disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di TV3 dan juga boleh didapati di perkhidmatan penstriman iQIYI pada hari yang sama, mulai 13 September 2022. 

Sekali Lagi Cinta Kembali yang diinspirasikan daripada novel Sekali Lagi Cinta Kembali karya Anna Milia ini diterbitkan oleh A. Aida Production Sdn Bhd dan adalah arahan Riza Baharudin yang telah menjayakan drama sukaramai lain seperti Bisik-Bisik Gelora dan Kisah Cinta Kita. Drama bersiri 28 episod ini juga adalah hasil nukilan skrip oleh Rehal Nuharis dan dibintangi pelakon handalan tanah air seperti Aniq Suhair, Siti Khadijah Halim, Zaki Azeman, Izzendra, Siti Hariesa, Syamim Farid, Fazlina Ahmad Daud, Kismah Johar dan ramai lagi.

Aira (Siti Khadijah Halim) adalah seorang gadis yang lantang bersuara tanpa berfikir dahulu. Selepas melakukan kesilapan mengambil alih tugas kaunselor secara tiba-tiba sewaktu ketiadaan Doktor Halina di pusat kaunseling, Aira secara tidak sengaja telah mengeruhkan keadaan dan mengakibatkan Alisa (Izzendra) dan Zafran (Zaki Azeman) bercerai kerana nasihatnya. Oleh kerana Zafran terlalu marah, dia telah mendesak Aira untuk mengganti rugi keadaan itu dengan bekerja di rumahnya sebagai penjaga Nek Som yang pelupa dan mengidap penyakit jantung.

Sebaiknya bermula tugas menjaga Nek Som, adik kepada Zafran, Hayyat (Aniq Suhair) merasakan segala tindak tanduk Aira tidak kena di matanya. Namun, Aira tetap menjaga Nek Som dengan penuh kasih sayang. Kemuliaan hati Aira itu membuka mata Hayyat tanpa disedari, tetapi dek rahsia yang disimpan dia tekad tidak ingin membuka kunci hatinya kepada mana-mana perempuan. 

Perasaan cinta mula berputik di hati Aira, dia yakin cinta Hayyat memang untuknya walaupun dia tidak menzahirkan perasaan cinta tersebut. Dapatkah Hayyat mengatasi kisah silamnya demi kasih kepada Aira? Apakah rahsia gelap Hayyat yang dirahsiakan dan membuatnya tekad untuk tidak bercinta lagi? Bolehkah Aira menerima kekurangan Hayyat dalam mencari bahagia mereka? 

Teruskan menonton Sekali Lagi Cinta Kembali yang telah bermula bersiaran sejak 13 September lalu, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3, dan strim melalui iQIYI pada hari yang sama. Ia juga disertakan dengan sari kata dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia di mana penonton boleh mengakses secara percuma pada bila-bila masa melalui www.iQ.com/local atau muat turun aplikasi iQIYI di App Store dan Play Store. Pelanggan VIP iQIYI boleh menikmati akses VIP Ekspres bagi drama ini yang membolehkan penonton untuk menonton episod terkini, 1 jam selepas tayangan di TV3 manakala pengguna percuma dapat menonton 48 jam selepas.

Sejak diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2020, iQIYI telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila mencapai peningkatan pengguna lebih daripada 15 kali ganda. Dari segi pertumbuhan keseluruhan dalam tahun 2021, iQIYI juga tersenarai sebagai khidmat penstriman Asia nombor satu di Malaysia berdasarkan jumlah muat turun, jumlah pelanggan aktif bulanan, dan jumlah masa yang diluangkan di platform tersebut.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.