Sempena Aidilfitri 2026, Bella Astillah mempersembahkan single terbaharu “Ya Raya”, hasil kolaborasi bersama jenama Fipper. Lagu ini ditulis oleh Rudeen, dikompos oleh Rudeen dan Exactesy, dengan susunan muzik yang memadukan elemen tradisional dan moden, menjadikan ia segar tetapi tetap mengekalkan nuansa klasik perayaan. “Ya Raya” membawa keceriaan, kesyukuran dan semangat kebersamaan, sesuai dijadikan soundtrack untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan rakan-rakan.
Bella Astillah mendedahkan bahawa lagu ini menghubungkan emosi beliau sejak mendengar demo pertama. Beliau berkata, “Setiap tahun kita beraya dalam suasana berbeza, kadang di kampung, kadang di bandar. Lagu ni rasa lebih ringan, penuh kesyukuran dan nak meraikan masa bersama keluarga dan kawan-kawan. Ada elemen ceria yang buat orang rasa nak senyum bila dengar.” Walaupun rakaman dilakukan ketika beliau kurang sihat, Bella berjaya mengekalkan tenaga dan keceriaan dalam vokal, terutamanya di bahagian chorus yang catchy dan menghiburkan.

Kolaborasi dengan Fipper pula menekankan integrasi muzik dan gaya hidup sempena musim perayaan. Bella menjelaskan bahawa Raya bukan sekadar muzik atau fesyen, tetapi keseluruhan gaya hidup — dari perjalanan balik kampung hingga momen berkumpul dengan orang tersayang. Fipper memilih Bella kerana imejnya yang positif, autentik dan dekat dengan peminat pelbagai lapisan umur, sejajar dengan identiti jenama yang menekankan keselesaan, keaslian dan gaya hidup rakyat tempatan.
Menurut pihak Universal Music Malaysia, pemilihan lagu ini dilakukan secara teliti bagi memastikan melodi, lirik dan konsep benar-benar menjiwai semangat Raya. Kolaborasi dengan Fipper pula dibuat secara organik, memastikan lagu mudah melekat di ingatan tanpa elemen penjenamaan yang terlalu menonjol. Bella berharap “Ya Raya” dapat menjadi lagu yang menemani setiap momen Aidilfitri, mengajak pendengar menghargai masa bersama orang tersayang, bersyukur dan mencipta kenangan indah. Lagu ini boleh distrim di semua platform digital mulai 13 Februari 2026.
