PEMBUAT jean tempahan khas tempatan, RAW Denim House (RDH) yang berpangkalan di Besut, Terengganu ternyata membuka mata pencinta dunia fesyen antarabangsa mahupun tanah air sejak diasaskan pada tahun 2012 lagi.
Dalam tempoh tujuh tahun, RDH yang bermula dengan perkhidmatan pengubahsuaian jean, kini semakin mengorak langkah menjadi perniagaan tempahan khas serba lengkap yang mempunyai pelanggan di merata-rata tempat
Identiti tersendiri dengan lambang ‘cakar ayam’ pada poket belakang menjadi tanda jenama (trademark) buat pengasas RDH. Hasil kerja tangan RDH dikatakan mencerminkan mitos tempatan yang menceritakan bagaimana Besut menjadi satu daerah di negeri Terengganu.
Pengasas RDH, Ahmad Safuan Nizam Kamarudin yang baru menerima Anugerah Tokoh OKU Negeri Terengganu sempena sambutan Maal Hijrah bakal menjawab beberapa persoalan signifikan berhubung dunia pembuatan jeans yang dikemukakan e-Trend baru-baru ini.
Boleh terangkan bagaimana saudara boleh berkecimpung dalam bidang pembuatan jean ini?
Saya memang berminat tentang jean lebih-lebih lagi aspek artisan dalam pembuatan jean. Kami memberi tumpuan dengan mengekalkan keaslian penciptaan jean dengan menggunakan mesin klasik dari tahun 1940-an. Kami melihat usaha ini sebagai satu bentuk seni yang mana setiap hasil kerja yang kami cipta adalah unik dan lain daripada yang lain dan kami mahu mengekalkan nilai artisan dalam pembuatan jean.
Apakah yang mendorong saudara untuk belajar dalam bidang jahitan buatan tangan?
Pada asalnya, saya tiada kemahiran dan pengalaman untuk mereka cipta jean tetapi disebabkan sifat ingin tahu tentang gaya, potongan dan cara jean dibuat, telah menggalakkan saya untuk menuntut ilmu selain mendapatkan maklumat lanjut mengenai seni membuat jean. Akhirnya, minat yang berputik untuk menghasilkan denim bermutu tinggi telah mendorong saya untuk membuat jean sendiri.
SENTUHAN RDH yang diyakini berkualiti tinggi dan mendapat permintaan ramai.
Bagaimana saudara menterjemahkan budaya dan warisan kraftangan Besut itu sendiri?
Kraf tangan memang sudah lama menjadi cara penduduk tempatan menterjemahkan budaya dan warisan mereka menjadi suatu sumber pendapatan. Kami berbangga melihat individu memanfaatkan hasil kerja harian menjadi suatu sumber sara hidup dan akhirnya berkembang menjadi sebuah perniagaan yang berjaya.
Mungkin saudara boleh kongsi kelebihan yang ada pada RDH yang terus relevan menjadi pilihan ramai?
RDH cukup memberi tumpuan dalam menghasilkan produk berkualiti dan sangat teliti bagi memastikan hanya bahan bermutu tinggi digunakan untuk setiap perincian seperti butang, jahitan dan label. Kami mengekalkan keaslian jean dengan menggunakan mesin klasik seperti Union Special dan Reece 101, yang merupakan mesin dari tahun 1940-an. Dengan cogan kata The Fighting Spirit, saya percaya bahawa berjuang dan berusaha mengatasi ketakutan dan keraguan dalam diri sendiri penting untuk mencapai kejayaan. Dengan semangat tersebut, RDH memberikan perhatian teliti kepada kualiti jean tempahan khas demi mencapai kecemerlangan bagi jenama RDH.
Apakah material dan pilihan benang yang membuatkan produk RDH cukup istimewa?
RDH menyediakan pilihan 10 hingga 15 fabrik untuk produk tempahan khas manakala fabrik diimport dari Turki, Itali, Dubai, Zimbabwe, China, Thailand, Jepun dan Amerika Syarikat dengan berat 296 gram (g) hingga 340g menjadikan jean selesa untuk dipakai. Bagi pilihan benang, kami menggunakan benang warna tembakau untuk mengekalkan rupa denim asli yang original. Produk disesuaikan mengikut kehendak dan pilihan pelanggan dari segi reka bentuk dan jenis fabrik. Fabrik bermutu tinggi akan memberikan kesan pudar semula jadi selepas dipakai selama bertahun-tahun yang membawa maksud, setiap individu akan menghasilkan kesan pudar unik tersendiri mengikut pergerakan seseorang.
CARA pembikinan jean yang dijalankan di RDH menggunakan material bermutu tinggi dan tahan lasak.
Bagaimana saudara mengekalkan kesetiaan pelanggan kepada jenama RDH?
Pelanggan kami akan menerima perkhidmatan pengubahsuaian percuma sepanjang hayat bagi jean yang dibeli daripada RDH. Selepas dua atau tiga tahun, pelanggan layak menerima diskaun apabila membeli jean baharu setelah memulangkan jean yang lama. Pada masa sama, RDH juga akan mengajar pelanggan tentang jean denim asli dan menunjuk ajar cara-cara untuk menjaga jean mereka.
Satu soalan lain. Bagaimana Program Mentor Keusahawan ILTIZAM (EMP) mampu membantu usahawan tempatan seperti saudara?
Sebenarnya, di sinilah kami lihat peranan yang boleh dimainkan oleh ILTIZAM untuk membantu usahawan menambah baik proses dan mencari jalan mengembangkan perniagaan sambil mengekalkan wawasan dan idea asal pengasasnya. Inilah masa yang sungguh mengujakan bagi RDH yang mana kami terus mengembangkan perniagaan dan jenama kami dengan bantuan ILTIZAM. Kami berharap inisiatif yang kami laksanakan dengan pasukan ILTIZAM akan membuahkan hasil dalam usaha kami untuk melonjakkan jenama ke fasa pertumbuhan yang seterusnya dengan mempelbagaikan penawaran produk kami ke pakaian lain.