Rara, Juwairiya berjuang demi rakyat

SIRI 2

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman menyifatkan, penglibatan beliau dalam politik tanah air bukan untuk meraih populariti.

Sebaliknya, inisiatif tersebut didorong dek semangat dan rasa tanggungjawab mengangkat suara rakyat.

Wanita berusia 31 tahun itu memberitahu, politik adalah jalan terbaik baginya melakukan perubahan dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang dan agama.

“Pada peringkat awal saya bermula dengan gerakan masyarakat sivil kemudian mengambil keputusan untuk aktif dalam politik selepas Bersih 3.0.

“Saya menyedari platform politik sahaja sesuai untuk melaksanakan sebarang perubahan dasar dan polisi yang membawa perubahan positif dalam kehidupan orang ramai,” jelas ADUN daripada parti DAP itu kepada Femina baru-baru ini.

Menurut anak jati Durian Tunggal, Melaka itu, sebagai ahli politik, beliau tidak terkecuali berdepan dengan pelbagai cabaran yang kadangkala menuntut kesabaran yang tinggi.

ARENA politik menjadi pilihan Rara memandang ia jalan terbaik baginya melakukan perubahan dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat. Foto: Ihsan Facebook Young Syefura.

ARENA politik menjadi pilihan Rara memandang ia jalan terbaik baginya melakukan perubahan dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat. Foto: Ihsan Facebook Young Syefura.

“Sepanjang berkecimpung dalam arena politik, cabaran utama yang perlu diatasi dengan baik adalah menepis reaksi dan persepsi masyarakat baik lelaki mahupun wanita terhadap kerjaya ahli politik wanita.

“Bebanan untuk membuktikan wanita juga berupaya menjadi ahli politik yang lebih baik daripada lelaki juga terasa berat, tetapi saya positif kerana setiap masalah ada solusinya,” terang beliau yang mesra disapa Rara.

Graduan Diploma Kejururawatan dan pernah bertugas sebagai jururawat peribadi berkenaan turut meluahkan, setakat ini perjalanan politiknya berjalan lancar dan bebas daripada ugutan jenayah melampau kecuali pernah menerima gangguan seksual.

Ditanyakan adakah politik itu membebankan? Jawab Rara yang aktif dalam Kadet Bomba di sekolah menengah dulu: “Ia boleh membebankan sekiranya perkara yang difokuskan sekadar permainan politik berbanding tumpuan pelaksanaan dasar dan polisi.

“Namun begitu, bagi saya, politik merupakan satu keperluan demi menjaga kebajikan masyarakat dan membangunkan negara.”

Sementara itu, ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli, 34, pula memberitahu, kehidupan hariannya tidak lengkap jika tidak turun padang bertemu komuniti. Sejak bergiat aktif dalam pentas politik sekitar tahun 2008, beliau semakin serasi dan sebati dengan sepak teranjang satu ‘dunia’ yang penuh pancaroba itu.

JUWAIRIYA menyifatkan bergelar ahli politik wanita bukan mudah kerana persepsi rakyat, tekanan dan tanggungjawab hadir secara serentak. Foto: Ihsan Juwairiya

JUWAIRIYA menyifatkan bergelar ahli politik wanita bukan mudah kerana persepsi rakyat, tekanan dan tanggungjawab hadir secara serentak. Foto: Ihsan Juwairiya

“Secara jujurnya, pada fasa awal, saya berasa sedikit gementar kerana status saya sebagai wanita. Namun begitu, berbekalkan pengalaman yang dikutip hari demi hari, saya semakin selesa dan bersemangat untuk membantu masyarakat.

“Bergelar ahli politik wanita bukan mudah kerana persepsi rakyat, tekanan dan tanggungjawab itu hadir secara serentak, tetapi selagi kita cekal. Insya-ALLAH, semua akan berakhir dengan baik,” katanya yang turut mengalakkan wanita Malaysia supaya berani melibatkan diri dalam ‘arena’ yang sama dengannya.

Berkhidmat sebagai ADUN di Bukit Melawati yang turut menjaga Kuala Selangor iaitu salah satu destinasi pelancongan menarik negara, wanita bujang itu sentiasa memastikan daerah yang dikendalikannya dijaga dengan baik.

“Saya juga sehabis baik akan sentiasa menitikberatkan masalah masyarakat setempat terutama membabitkan nelayan dan beberapa isu relevan,” kata Juwairiya.

Sumber