RAMLY MELANGKAH KE ERA DIGITAL DENGAN HONG LEONG ISLAMIC BANK

RAMLY MELANGKAH KE ERA DIGITAL DENGAN HONG LEONG ISLAMIC BANK

Kumpulan Ramly (Ramly) melangkah ke era digital dan mentransformasi perniagaannya dengan Hong Leong Islamic Bank (“HLISB” atau “Bank”). Transformasi ini merupakan sebahagian daripada usaha Ramly bagi memastikan perniagaan mereka memenuhi tuntutan ekonomi digital dan masyarakat tanpa tunai di Malaysia.

Kumpulan Ramly yakin bahawa transaksi tanpa tunai akan memudahkan lagi pelanggannya di samping meningkatkan kecekapan keseluruhan operasinya.
 
Dari kiri: Pengarah Kumpulan Ramly, Siti Hayu Dato’ Dr Ramly, Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Ramly, Dato’ Dr. Hj. Ramly b Mokni, Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan Korporat HLB, Yow Kuan Tuck, Pengerusi HLISB, Datuk Dr. Md Hamzah Md Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Jasani Abdullah

Pelopor industri makanan Halal negara akan mengguna pakai penyelesaian perbankan digital HLISB termasuk pengurusan tunai dan likuiditi menerusi HL ConnectFirst, platform perbankan dalam talian dan mudah alih untuk penyelesaian perniagaan dan pembayaran. Semua produk serta perkhidmatan kewangan HLISB yang dinyatakan mematuhi undang-undang Syariah.

Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Jasani Abdullah menjelaskan bahawa salah satu daripada bidang tumpuan Bank ialah meyumbang terhadap perkembangan industri Halal tempatan terutamanya sektor makanan menerusi penyediaan produk, perkhidmatan dan penyelesaian perbankan yang mematuhi undang-undang Syariah dan berteras digital.

“Industri Halal sedang berkembang pesat bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia dengan sektor makanan mewakili 60% industri berkenaan[1]. HLISB menyasarkan untuk memimpin usaha dalam meningkatkan lagi kekuatan komuniti perniagaan Halal dalam era di mana syarikat perlu menyesuaikan perniagaan mereka ke arah Revolusi Industri 4.0. Ramly, salah satu jenama makanan Halal tempatan yang popular, sebagai rakan kongsi utama Bank menandakan detik penting dalam perjalanan kami bagi menyokong industri Halal dan menjadi peneraju perbankan digital Islam di Malaysia.”

Untuk bersaing dengan migrasi ke ekonomi tanpa tunai yang pesat, Ramly akan menggunakan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang disediakan oleh Bank iaitu All-in-One merchant Point-of-Sales terminal di semua kedai, bistro serta kiosk Ramly di seluruh negara. Terminal tersebut membolehkan Ramly menerima semua pengendali kad dan e-Dompet utama seperti Boost, TNG e-Wallet, WeChat Pay, AliPay dan Samsung Pay.

Jasani menambah bahawa HLISB sentiasa komited membantu para pelanggan mengembangkan lagi perniagaan mereka menerusi ekosistem dan keupayaan perkhidmatan kewangan bersepadu.

“Produk dan perkhidmatan penyelesaian perbankan kami direka khusus bagi memenuhi keperluan para pelanggan. Proses digitisasi penyelesaian perbankan kami bukan sahaja mampu melicinkan urusan dan memberikan pengalaman perbankan yang lancar kepada pelanggan tetapi turut memperbaiki proses dalaman mereka,” kata Jasani.

Dalam masa yang akan datang, Ramly dan HLISB merancang untuk membantu pengusaha gerai kecil-kecilan jenama ‘Ramly Burger’, yang kebanyakannya menjalankan perniagaan berasaskan tunai untuk turut sama beralih kepada penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang disediakan oleh HLISB. Usaha ini bertujuan membantu peniaga mikro menjadi sebahagian daripada ekonomi digital dan merealisasikan wawasan masa depan yang merangkumi perkhidmatan kewangan digital dan keterangkuman kewangan untuk semua di negara ini.