Puteri Khareeza Bakal Adakan Showcase Solo Pertama ‘Sebenar’

Setelah mencipta nama dalam industri muzik dan menarik perhatian di televisyen, penyanyi dan pelakon yang serba boleh, Puteri Khareeza, bersedia untuk memukau peminat melalui showcase solo pertamanya yang bertajuk ‘Sebenar’.

Acara ini akan berlangsung pada 16 November 2024 di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Sidang media eksklusif yang diadakan hari ini memberikan gambaran awal tentang showcase tersebut, di mana Puteri akan mempersembahkan single terbarunya, “Sebenar”, yang menjadi lagu runut bunyi (OST) untuk drama TV3 yang popular, Khilaf Yang Tertulis. Sebagai satu kejutan istimewa, Puteri juga akan menyanyikan dua lagu secara eksklusif untuk tetamu media yang hadir.

Puteri Khareeza meluahkan rasa teruja dan berjanji untuk memberikan persembahan terbaik bagi semua peminat. Showcase ‘Sebenar’ bukan hanya menjadi platform untuk menonjolkan bakat nyanyiannya, tetapi juga memberikan peluang kepada peminat untuk mengenali Puteri Khareeza dengan lebih mendalam dan meraikan perjalanan seninya dalam industri hiburan.

“Saya merasa sangat gementar tetapi pada masa yang sama, teruja kerana ini adalah showcase pertama saya yang mendapat sokongan daripada pihak pengurusan. Saya akan berusaha keras untuk memberikan yang terbaik buat peminat dan keluarga saya,” kata Puteri Khareeza. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokongnya, terutama pihak pengurusan dan guru vokalnya yang membantunya dalam persiapan showcase ini. Dengan latihan selama lima bulan bersama guru vokal, Cikgu Delly, dan bantuan dari Alternate Records, beliau yakin dapat menyampaikan persembahan yang mengagumkan.

Showcase

“Showcase ini adalah satu pencapaian penting bagi saya sejak memulakan karier dalam bidang hiburan. Ini adalah pengalaman pertama saya yang akan saya ingati sebagai satu momen bersejarah dalam kerjaya saya,” tambahnya. “Saya berharap dapat menghiburkan semua tetamu dan memberikan persembahan terbaik buat peminat saya,” katanya dengan penuh harapan.

Lagu-lagu yang akan dipersembahkan termasuk kombinasi karya popular dan beberapa lagu baru yang pasti akan memikat hati peminat. Proses pemilihan lagu telah dilakukan dengan teliti untuk memenuhi cita rasa peminat dan menonjolkan keunikan vokalnya. Antara lagu yang akan dipersembahkan termasuk “Sebenar”, “Sakitnya Hati”, “Duka Di Sebalik Tawa”, “Sinaran”, dan banyak lagi. Showcase ini dijangka menarik kehadiran sekitar 500 peminat setia, dan akan dimeriahkan dengan persembahan kolaborasi bersama artis jemputan seperti Haris Fayahet, Zazo Maulana, Maria Khairul (alumni Lagu Cinta Kita 3), dan Adi dari kumpulan Venus.

Puteri Khareeza juga membuktikan bahawa kejayaan dalam industri hiburan tidak menghalang pencapaian akademik yang cemerlang. Sebagai pelajar jurusan undang-undang di UiTM Shah Alam, beliau berjaya menyeimbangkan karier dan pendidikan. Sokongan dari keluarga, rakan-rakan, dan terutamanya Alternate Records, menjadi sumber kekuatannya. “Pendidikan adalah sangat penting dan perlu diseimbangkan dengan minat saya dalam seni. Alhamdulillah, pensyarah saya sangat memahami dan sentiasa menyokong kerjaya seni saya,” ujar Puteri. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, beliau yakin dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Puan Shahila Shah, Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Filem, Müzik dan Kandungan Rancangan di Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, menyatakan bahawa showcase ini bertujuan untuk memaparkan kebolehan Puteri sebagai seorang artis yang mampu mengimbangi dunia hiburan dan akademik. “Puteri bukan hanya versatil dalam bidang lakonan dan nyanyian, tetapi juga seorang pelajar yang cemerlang. Kejayaannya dalam mengekalkan prestasi seimbang adalah sesuatu yang kami kagumi dan boleh menjadi contoh terbaik untuk artis muda lain. Beliau seorang yang rajin dan berdedikasi, dan showcase ini adalah bukti komitmen kami untuk terus menyokong kerjayanya,” ujar Puan Shahila.

Sebagai seorang artis muda yang bercita-cita tinggi, Puteri telah bersama Alternate Records selama tiga tahun dan telah mencapai pelbagai kejayaan. Antara kejayaannya adalah menjadi finalis Top 6 dalam rancangan Big Stage dan dicalonkan sebagai BBNU Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2023. Selain itu, beliau juga merupakan wajah utama untuk jenama Panadol dan beberapa jenama terkenal lain.

Dilahirkan dari program realiti Lagu Cinta Kita 3 pada tahun 2022, Puteri Khareeza telah membuktikan dirinya sebagai artis yang serba boleh. Selain menyanyi, beliau juga aktif dalam bidang lakonan, membintangi drama popular seperti Nuh & Nayla, Wanita Syurga, dan Kerana Cinta Itu Ada. Lagu-lagu hitsnya seperti “Duka Di Sebalik Tawa” (OST Melur Untuk Firdaus), “Sebenar” (OST Khilaf Yang Tertulis), dan “Helah” (OST Haloba) telah mendapat sambutan luar biasa, dengan “Duka Di Sebalik Tawa” meraih lebih 475 juta tontonan di TikTok, 5.4 juta tontonan di YouTube, dan 2.4 juta penstriman di platform dalam talian seperti Spotify.

Showcase ‘Sebenar’ adalah peluang terbesar untuk Puteri menonjolkan bakatnya dan menjadi bukti usaha kerasnya dalam mencapai impian serta meninggalkan kesan dalam dunia hiburan tempatan. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Puteri Khareeza ‘Sebenar’ Showcase secara langsung di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 16 November 2024. Mari kita ‘healing’ bersama Puteri Khareeza dengan muzik yang meraikan satu peristiwa penting dalam kerjayanya.

Acara ini dijangka menjadi pengalaman yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat setia yang mengikuti setiap langkah dalam karier seninya. Jadi, jangan tunggu lagi! Tandakan 16 November 2024 di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam dalam kalendar anda!

Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, sila layari laman media sosial rasmi mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.