PERNAHKAH anda berdepan situasi apabila terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk membaiki sinki yang tersumbat dengan sisa makanan ataupun baki minyak masak?
Itu belum lagi mencuci tangan berulang kali dek berasa haba selepas menghiris cili.
Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah tersebut ikuti perkongsian tip ringkas yang hanya menggunakan bahan-bahan terdapat di dapur pada edisi Jom Masuk Dapur kali ini.
1) Bahang cili
Sebelum menghiris cili merah, cili padi ataupun cili kering pastikan kita menggosok tapak tangan dengan sedikit minyak masak.
Langkah tersebut membantu mengelakkan panas cili meresap dalam tapak tangan.
2) Garam hilang bau belacan
Jika kurang selesa dengan bau makanan seperti petai, kuah kari atau sambal belacan yang melekat pada tapak tangan, atasinya dengan cara mudah.
Gosok tapak tangan dan jari-jemari dengan sesudu garam sebelum membasuhnya dengan sabun dan air bersih.
3) Bekukan lebihan minyak masak
Lazimnya, majoriti individu akan menggunakan minyak masak sama berulang kali untuk menggoreng ikan atau ayam bagi menjimatkan kos.
Bagaimanapun, selepas tidak boleh digunakan lagi jangan dibuang terus minyak masak tersebut ke dalam sinki.
Sebaik-baiknya, letak lebihan minyak dalam plastik atau bekas lalu bekukan menjadi seperti ketulan ais dan dibuang ke dalam tong sampah. Langkah mudah itu dapat mengelakkan saluran sinki tersumbat.
4) Dulang aluminium menyah beku daging
Bagi melembutkan daging beku dalam kadar segera, letakkan ia di atas dulang jenis aluminium.
Ini disebabkan aluminium adalah konduktor haba terbaik dan menarik energi daripada persekitaran sekeliling ke dalam daging beku.