Marsha Milan, yang kini dikenali sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), tidak meraih kejayaan itu dengan mudah. Sepanjang dua dekad dalam industri hiburan tanah air, perjalanan seni Marsha penuh dengan cabaran yang menguji kesabaran, ketabahan, dan semangatnya. Namun, berkat usaha tanpa henti dan kepercayaan pada impian, Marsha kini berdiri megah di puncak kejayaan.
Pada awal kariernya, Marsha berdepan dengan cabaran besar, terutamanya apabila ibu beliau tidak merestui keputusan anaknya untuk terjun ke dunia seni. Bagi sang ibu, industri hiburan bukanlah bidang yang menjanjikan kestabilan hidup. Namun, Marsha tidak mudah mengalah. Dengan tekad untuk membuktikan bahawa minatnya adalah sesuatu yang lebih daripada sekadar angan-angan, beliau terus berusaha tanpa mempedulikan rintangan yang dihadapi.
“Saya tidak mudah berputus asa walaupun mendapat tentangan. Saya ingin membuktikan kepada ibu saya bahawa saya boleh berjaya dalam dunia ini,” kata Marsha mengenang perjalanan awalnya.
Selain menyanyi, Marsha juga menjajaki pelbagai bidang dalam industri hiburan seperti pengacaraan. Walaupun bergelar seorang pengacara, beliau tetap mengekalkan fokus untuk membangunkan karier muziknya. Namun, Marsha turut berkongsi cabaran yang paling besar dalam hidupnya, iaitu kekal relevan dalam industri seni.
“Cabaran terbesar saya adalah untuk kekal relevan. Pada usia ini, baru saya mendapat sorotan yang lebih besar dan lebih banyak peluang. Saya perlu sentiasa berusaha agar tidak dilupakan,” ujarnya.

Ketika mula-mula menceburi industri, Marsha mengalami kesukaran hidup, termasuk bayaran yang terlalu rendah untuk beberapa bulan pertama. Keadaan itu membuatkan hidupnya jauh dari keselesaan, dan beliau terpaksa berjuang untuk bertahan.
“Saya hanya menerima bayaran sekitar RM570 pada awal karier. Sedangkan, sewa rumah saja sudah mencecah RM500. Saya malu untuk meminta bantuan ibu bapa, jadi saya terpaksa bertanya pada adik-beradik jika mereka boleh meminjamkan wang kepada saya,” kenangnya sambil tersenyum.
Walaupun dikenali sebagai pelakon, Marsha berusaha keras untuk memastikan namanya terus dikenang sebagai penyanyi. Beliau tidak teragak-agak untuk menggunakan simpanannya sendiri demi menghasilkan lagu-lagu baru. Keputusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila lagu-lagu seperti ‘Sumandak Sabah’ dan ‘Bimbang’ mendapat perhatian ramai dan membuka ruang untuk Marsha kembali berdiri di pentas muzik tanah air.

“Setelah mengeluarkan lagu ‘Bimbang’, saya berpeluang untuk menembusi pentas besar seperti Muzik-Muzik. Alhamdulillah, ia menjadi titik perubahan yang besar dalam kerjaya saya,” tambah Marsha penuh kesyukuran.
Kini, dengan kejayaan menjuarai AJL39, Marsha membuktikan bahawa kerja keras, keyakinan diri, dan tidak pernah berhenti bermimpi adalah kunci kejayaan. “Never stop believing and never stop dreaming,” ujar Marsha, mengingatkan ramai generasi muda untuk terus mengejar impian tanpa mengenal putus asa.
Sebagai penyanyi yang bernaung di bawah Alternate Records & Talent, Marsha kini merancang untuk mengeluarkan lebih banyak lagu dan album. Perbincangan mengenai konsert juga sedang dijalankan, dan Marsha menjanjikan lebih banyak kejutan buat peminat setianya.
Ikuti perkembangan Marsha melalui akaun media sosial rasmi Alternate Records & Talent di Facebook, Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).