Peminat Ultraman di Malaysia berpeluang menyaksikan sejarah baru apabila Ultraman The Ultra Tour secara rasmi dilancarkan di pusat beli-belah Sunway Pyramid hari ini. Acara yang penuh dengan keceriaan dan pengalaman interaktif ini merupakan kerjasama antara Tsuburaya Fields Entertainment International Pte. Ltd. (TFEI), One Universal Production Sdn. Bhd. (OUP), dan Sunway Malls, dan menyatukan peminat dari pelbagai lapisan usia untuk meraikan wira ikonik Jepun ini.
Majlis pelancaran yang meriah ini disempurnakan oleh Dato’ Kamil Othman, dengan kehadiran wakil daripada pelbagai agensi kerajaan serta Kedutaan Jepun, yang turut menekankan kepentingan kolaborasi budaya antara Malaysia dan Jepun. Dalam ucapannya, Dato’ Kamil berkata, “Kerjasama ini bukan sahaja mengangkat warisan Ultraman di Malaysia, tetapi juga menunjukkan kepentingan kolaborasi antarabangsa dalam memperluaskan impak dan jangkauan kandungan kreatif.”
Ultraman, sebagai ikon budaya pop global, telah menempah tempat dalam hati peminatnya di seluruh dunia, dan kini Malaysia menjadi destinasi utama dalam usaha memperkenalkan budaya Jepun yang lebih mendalam. “Hak intelek seperti Ultraman telah membentuk budaya pop global, dan pelancaran jelajah ini membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi destinasi yang menarik untuk perkongsian sebegini,” tambah Dato’ Kamil.

Salah satu momen paling istimewa dalam acara tersebut adalah apabila One Universal Production Sdn. Bhd. (OUP) berjaya mencatatkan rekod baharu dalam ASEAN Records dengan menghimpunkan seramai 270 orang peminat Ultraman yang berpakaian bertemakan Ultraman. Ini merupakan perhimpunan terbesar seumpamanya di Malaysia dan mencipta sejarah tersendiri dalam industri hiburan tempatan.
Acara ini turut dimeriahkan dengan kemunculan Yuki Totsuka, pelakon Jepun yang terkenal dengan watak Yuma Hize/Ultraman Arc, yang meluangkan masa bertemu peminat dalam sesi ramah mesra eksklusif.
Menurut Alvin Lee, Ketua Pegawai Eksekutif OUP, “Ultraman telah menjadi sebahagian daripada zaman kanak-kanak kebanyakan rakyat Malaysia, dan untuk melihat tahap kepopuleran wira ini yang terus berkembang merupakan sesuatu yang mengagumkan. Membawa Ultraman The Ultra Tour ke Malaysia adalah projek yang istimewa buat kami.”

Ultra Tour ini tidak hanya terhenti di Sunway Pyramid. Peminat Ultraman di seluruh negara berpeluang menyertai pengalaman luar biasa ini di tujuh pusat beli-belah Sunway yang berbeza. Antara lokasi yang bakal menerima kunjungan Ultraman The Ultra Tour adalah:
- Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur
- Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya, Pulau Pinang
- Sunway 163 Mall, Mont Kiara, Kuala Lumpur
- Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur
- Sunway Big Box Retail Park, Iskandar Puteri, Johor
- Sunway Kluang Mall, Kluang, Johor
Acara ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi ramah mesra bersama Ultra Heroes, Inflatable Playland bertemakan Ultraman, demonstrasi permainan Gigabash, dan peluang untuk mendapatkan barangan eksklusif Ultraman. Ini adalah peluang emas untuk peminat merasai pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Kerjasama antara TFEI, OUP, dan Sunway Malls turut melibatkan strategi pemasaran dan penjenamaan untuk memperkukuhkan kehadiran Ultraman di Malaysia. Kempen promosi yang dijalankan merangkumi platform digital dan fizikal, melibatkan ekosistem runcit dan hiburan Sunway yang luas. Peminat juga berpeluang membeli pelbagai barangan eksklusif Ultraman seperti pakaian, permainan, koleksi istimewa, dan item edisi terhad di pusat-pusat beli-belah Sunway.

Selain itu, pengalaman immersive juga ditawarkan melalui pelbagai aktiviti bertemakan Ultraman, memberi peluang kepada peminat untuk lebih mendalami dunia Ultraman melalui sesi ramah mesra dan pengalaman interaktif yang unik.
Majlis pelancaran juga memberi perhatian kepada semangat Ramadan dengan menyantuni golongan yang memerlukan. Dua rumah kebajikan iaitu Pertubuhan Kebajikan Rumah Pengasih Warga Prihatin dan Persatuan Kebajikan Pusat Jagaan Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras menerima sumbangan daripada penganjur. Sumbangan ini bertujuan membantu menyediakan keperluan asas dan kelengkapan perayaan untuk anak-anak di rumah kebajikan tersebut agar mereka dapat menyambut Ramadan dengan lebih bermakna.
Tindakan ini mencerminkan nilai kasih sayang dan perpaduan yang dibawa oleh Ultraman, serta selaras dengan matlamat penganjur untuk memberi impak positif kepada masyarakat sambil menawarkan hiburan yang berkualiti.
Ultraman The Ultra Tour menjanjikan pengembaraan yang penuh keterujaan buat peminat di seluruh Malaysia. Acara ini menggabungkan nostalgia, hiburan, dan semangat kemasyarakatan dalam satu perayaan unik untuk salah satu ikon budaya pop paling digemari dari Jepun. Peminat yang berada di sekitar Bandar Sunway boleh melawat pameran Ultraman The Ultra Tour di Blue Concourse, Sunway Pyramid yang akan berlangsung dari 25 Februari hingga 2 Mac, bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Dengan pelbagai aktiviti, pertemuan istimewa, dan barangan eksklusif, Ultraman The Ultra Tour adalah acara yang tidak boleh dilepaskan oleh para peminat di Malaysia.