Penyanyi, komposer dan pelakon berbakat besar Sharul Kamal kini melangkah ke fasa baharu dalam kerjaya seninya apabila secara rasmi bernaung di bawah label ternama Rocketfuel Entertainment. Pemuzik versatil yang sebelum ini aktif sebagai penyanyi bebas itu tampil dengan dua karya istimewa iaitu single pertama berjudul Emas, sebuah balada mellow dengan nuansa rock yang sudah dilancarkan, manakala Bayangan merupakan single susulan yang bakal menjadi runut bunyi rasmi OST filem aksi penuh dinanti Magik Rompak.

Langkah Sharul ke Rocketfuel dilihat sebagai permulaan yang penuh makna buat dirinya sekaligus membuka peluang lebih luas dalam dunia seni suara. Beliau menyatakan rasa syukur kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Rocketfuel Entertainment. Bagi Sharul, mempunyai pasukan yang mempercayai visinya sangat penting dan dengan sokongan Rocketfuel beliau yakin muziknya mampu pergi lebih jauh bukan sahaja di Malaysia malah ke peringkat serantau.
Single pertama Sharul bersama Rocketfuel berjudul Emas telah pun dilancarkan pada 18 Ogos lalu bersama video muzik rasmi. Lagu ini menampilkan sisi emosi Sharul yang penuh perasaan namun tetap mengekalkan energi rock yang sudah sinonim dengan identitinya. Bagi Sharul, Emas bukan sekadar lagu tetapi simbolik kepada permulaan baharu dalam kerjayanya dan dianggap sebagai titik mula perjalanan seninya. Beliau berharap lagu ini dapat menghubungkan dirinya dengan pendengar yang mencari karya yang ikhlas serta jujur.

Selepas Emas, Sharul bakal hadir dengan single kedua berjudul Bayangan. Berbeza dengan single pertamanya, lagu ini istimewa kerana ia adalah hasil ciptaan Sharul sendiri dengan sentuhan sahabat serta kolaborator lamanya Aepul Roza. Lebih bermakna lagi, Bayangan telah dipilih sebagai OST rasmi filem aksi Magik Rompak yang dibintangi oleh pelakon popular tanah air seperti Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson dan Nadhir Nasar. Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 11 September 2025.
Menulis dan merakam Bayangan merupakan proses yang sangat peribadi buat Sharul dan apabila ia dipilih sebagai OST untuk filem berskala besar, beliau berasa amat bangga. Lagu ini menurutnya membawa jiwa dan naratif yang diyakini mampu memberi emosi tambahan kepada penonton. Aepul Roza turut meluahkan keterujaannya kerana berpeluang bekerjasama dengan Sharul dalam Bayangan. Beliau menegaskan bahawa lagu tersebut mempunyai kekuatan melodi dan cerita yang sesuai dijadikan runut bunyi filem.
Kedua-dua single ini menandakan fasa baharu buat Sharul Kamal sebagai artis di bawah naungan Rocketfuel Entertainment. Ia bukan sahaja menampilkan bakatnya sebagai penyanyi, tetapi juga menyerlahkan keupayaannya sebagai penulis lagu yang penuh jiwa. Sharul berharap karya yang dihasilkan bukan hanya diterima sebagai hiburan, tetapi juga mampu meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar. Beliau berjanji untuk terus berkarya dengan seikhlas hati demi peminat.
Dengan gabungan vokal bertenaga, emosi tulus serta sokongan daripada Rocketfuel Entertainment, Sharul Kamal dilihat bersedia untuk melangkah lebih jauh mewarnai industri muzik tanah air dengan karya berkualiti dan segar. Single Emas kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music. Penonton juga boleh menyaksikan official visualizer lagu tersebut di saluran YouTube Rocketfuel Network. Sementara itu, single Bayangan yang merupakan OST Magik Rompak bakal menemui pendengar bermula 5 September 2025.