PENYAMPAIAN GERAN KAJIAN, PEMBANGUNAN, DAN/ ATAU PENGKOMERSILAN (R&D&C) PROGRAM KHAZANAH ALAM INDUSTRI JUALAN LANGSUNG SERTA PENYERAHAN LESEN JUALAN LANGSUNG

Dalam majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna KPDN Putrajaya, YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, telah memberikan Geran Penyelidikan, Pembangunan dan/atau Pengkomersilan (R&D&C) Program Khazanah Asli Industri Jualan Langsung kepada 8 perniagaan jualan langsung dan 1 badan berkanun.

Inisiatif pemberian Geran R&D&C ini bertujuan untuk memperkembangkan perniagaan jualan langsung khususnya kepada syarikat jualan langsung yang mengeluar dan memasarkan produk tempatan berasaskan sumber alam semula jadi serta membantu syarikat mengkomersilkan produk jualan langsung.

KPDN berharap pemberian geran ini akan dapat meningkatkan dan memajukan industri jualan langsung serta yakin ianya akan dapat memberi nilai tambah kepada produk-produk khazanah alam tempatan. Majlis ini turut menyaksikan penyerahan lesen jualan langsung melibatkan 14 syarikat 2 menerima lesen baharu manakala 54 syarikat menerima lesen pembaharuan.

Kementerian mengingatkan agar pemegang lesen jualan langsung sentiasa mematuhi segala peraturan yang telah digariskan demi menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan aktiviti jualan langsung yang beretika di samping peka kepada hak serta kepentingan pengguna. KPDN selaku Kementerian bertanggungjawab mengawal selia industri jualan langsung yakin industri jualan langsung ini akan terus berkembang maju dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negara.