KUALA LUMPUR – Langkah Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) hari ini kepada kadar terendah 1.75 peratus daripada 2.00 peratus sebelum ini, didorong oleh keadaan ekonomi global yang masih pada awal tahap pemulihan pandemik Covid-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini berkata, berdasarkan jangkaan pelbagai agensi seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, lebih 150 dari 195 negara di seluruh dunia dijangka merekodkan penguncupan ekonomi pada 2020.
“Keputusan menurunkan kadar OPR ternyata bertujuan mempercepatkan kadar pemulihan dan seterusnya merangsang ekonomi negara.
“Kerajaan percaya bahawa keputusan ini, digabung dengan langkah-langkah proaktif yang diperkenalkan sejak Mac 2020 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS+ dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), akan mampu merangsang ekonomi dengan mewujudkan pekerjaan, mengembalikan keyakinan pengguna dan pelabur, serta membendung kemungkinan penguncupan ekonomi yang mendadak,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, pemulihan ekonomi Malaysia turut tertakluk kepada usaha sama semua pihak termasuk syarikat-syarikat korporat, perusahaan kecil dan sederhana, peniaga dan pengguna terutamanya bagi memastikan nyawa dan kehidupan rakyat dilindungi serta ekonomi diperkukuhkan.
Setakat ini, pakej-pakej rangsangan yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion telah memanfaatkan kira-kira 800,000 perniagaan dan menyelamatkan kira-kira 2.6 juta pekerjaan.
Beliau berkata tempoh tiga hingga enam bulan akan datang merupakan tempoh yang penting bagi menjayakan pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Penjana yang dijangka membuahkan hasil menjelang suku ketiga atau keempat 2020.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia telah membuktikan daya ketahanannya dalam menangani pelbagai cabaran termasuk Krisis Kewangan Asia dan Krisis Kewangan Global berteraskan asas ekonomi yang kukuh dan kerangka institusi yang baik serta pasaran modal dan kewangan yang mantap, berdaya saing dan dikawal selia dengan baik.
“Kerajaan akan terus memastikan ekosistem kewangan dan pelaburan Malaysia sentiasa bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan pada jangka masa pendek dan sederhana untuk terus menjamin kemampanan dan ketahanan ekonomi Malaysia,” katanya.
Mengenai pengurangan terkini OPR, Bank Negara Malaysia berkata pandemik Covid-19 telah memberikan kesan yang ketara ke atas ekonomi global dan pengurangan itu akan memberikan rangsangan dasar tambahan untuk mempercepat kadar pemulihan ekonomi.
Kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2 peratus dan 1.5 peratus. – Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: BNM turunkan kadar faedah